BAYAN SUBUH NIZAMUDDIN - BAHAYA CINTA HARTA
Hazratji Maulana Saad Db
📍 Simahi Mesyuarat
Ahad 19/04/2026
Penterjemah : Dr Ilyas Hj Mydin
penulis : us farkhan daie
Ujian pertama paling dahsyat pada Anbiya seterusnya Para Sahabat seterusnya Auliya. Ujian pertama ialah harta. Nabi ﷺ bimbang tentang umat ini. Ujian kefakiran. Bila kita cari harta kerana bimbang akan melalui kehidupan yang susah di masa yang akan datang, kamu akan perlukan nanti, ini bahaya.
Orang Islam jika ada pemikiran kalau saya tiada jawatan dan harta, maka orang tak akan muliakan Islam, ini bukan pemikiran seorang Islam. Harta, kedudukan dan kerajaan tiada kaitan dengan kemuliaan. Jika ini betul sudah pasti seluruh Nabi-Nabi, Allah SWT telah jadikan mereka semua kaya. Bahkan orang akan masuk Islam kerana tengok kekayaan yang pada Nabi, bukan beriman kerana Allah SWT. Di zaman Nabi ﷺ hanya orang kafir sahaja yang menasihati Nabi agar Nabi jadi kaya dulu baru orang akan ikut.
Syaitan tipu kita hari ini beritahu kita, jadilah kaya tuan-tuan. Sibukkan diri mencari harta. Bila sudah banyak duit nanti, senang kamu nak sambut takaza, nak bantu madrasah, bantu maktab dan bantu rakan seusaha. Ini adalah tipu daya syaitan. Berapa ramai orang yang telah ditipu begini dan sudah langsung tidak beri masa untuk kerja agama, sampai sekarang masih sedang sibuk kumpul harta.
Adalah satu perkara yang sangat bahaya jika di dalam kawasan masjid atau kawasan markas ada kedai yang merupakan milik masjid, kerana ramai orang bergaduh kerana nak kedai itu.
Khulafa’ ur Rasyidin tidak akan terima jika nama mereka digunakan untuk perkara dunia kerana mereka tak mahu akan dimahrum Allah SWT dari pahala di akhirat.
Satu hari Saidina Ali r.a., nak beli baju, ada satu kedai dijaga oleh seorang anak kecil sebab ayahnya ke tandas. Budak telah letak harga dua kali ganda. Saidina Ali r.a. setuju. Akad dibuat dan bayar. Saidina Ali r.a. pun pulang.
Ayah budak tadi tanya, ada orang beli baju? Ada kata anaknya. Nama orang itu sekian-sekian dan saya jual sekian-sekian. Ayahnya terkejut, itu Amirul Mukminin. Kenapa kamu jual mahal dengannya sedangkan dia Amirul Mukminin?
Ayahnya tanya kedai-kedai sebelah, betul ke Amirul Mukminin datang? Betul kata orang lain. Ayahnya telah bawa anaknya kepada Saidina Ali r.a., mohon maaf kerana anak dia telah letak harga dua kali ganda sedangkan dia tak tahu engkau Amirul Mukminin.
Kata Ali r.a., aku dah setuju dengan harga itu. Tidak mengapa, kami telah pun akad. Mereka tak gunakan kedudukan jawatan mereka untuk minta murah atau minta percuma, yang hari ini kita dengan jawatan dan kedudukan kita guna untuk ambil kesempatan.
Hazrat Umar r.a. nampak seorang budak kecil kurus sangat. Umar r.a. cakap, kesian budak ini. Anak siapa ini? Orang cakap itu cucu kau lah, anak Abdullah bin Umar. Kenapa dia jadi kurus? Dia tak makan ke?
Kata sahabat, semua harta kau telah beri pada umat dan tidak pada keluarga. Umar r.a. sembelih unta setiap hari bagi pada keluarga Nabi dan pada umat. Baki yang sisa, yang keras itu bagi pada keluarga. Inilah Umar r.a. Kita hari ini kerana ada jawatan dan kedudukan, kita ambil kesempatan dahulu diri dan keluarga.
Umar r.a. didatangi gabenor Bahrain, dihidangkan makanan. Kata gabenor Bahrain itu daging itu keras, sampai aku tak boleh gigit. Aku tanya Umar, keras sangat daging ini? Kata Umar r.a., semua yang sedap untuk umat, tapi yang keras yang tiada siapa nak makan, ini untuk Umar.
Tiada bahagian kesenangan untuk keluarga Umar walaupun ayah khalifah. Wahai Abdullah bin Umar, pergilah kau kerja.
Ujrah dan ajar berbeza. Ujrah ialah bayaran upah, adapun ajar ialah ganjaran pahala. Jangan sampai dengan agama dan kerja agama, kita ambil peluang untuk dapat ujrah (bayaran). Maka sebab itu Umar r.a. suruh anaknya berniaga. Maka Abdullah bin Umar pun nak mula berniaga.
Imam Malik رحمه الله kata, ajarlah ulama kemahiran supaya agama mereka untuk akhirat dan kemahiran dia untuk dunia dia.
Jangan sampai ulama jual agama untuk manfaat dunia.
Hari ini orang guna fatwa untuk lawan orang-orang yang bertaqwa.
Agama bukan muamalat macam berniaga. Saya beri kamu ilmu agama, kamu tukarkan dengan dunia yang ada pada kamu.
Abdullah bin Umar tadi telah beli dua ekor unta kurus dan murah, letak di tempat ternak. Zaman dulu memang ada orang yang bekerja jaga ternakan orang ramai. Tak lama lepas diternak, unta Abdullah bin Umar gemuk. Dia nak jual di pasar.
Bila Umar r.a. lalu di pasar, dia nampak unta lain saiz biasa tapi ada dua ekor gemuk. Umar r.a. tanya ini unta siapa. Abdullah bin Umar kata, hari itu ayah suruh saya berniaga, maka saya pun berniaga. Jadi saya nak jual unta ini dan untung dari unta ini nak sara keluarga makan.
Kata Umar r.a., kenapa unta kamu gemuk dan untuk orang lain tidak? Ini pasti orang yang jaga ternakan telah beri makan lebih kepada unta kamu kerana kamu anak Amirul Mukminin. Ini adalah salah. Sekarang jual unta ini. Hanya ambil modal asal kamu sahaja. Baki semua bagi kepada Baitul Mal. Jangan pernah guna nama Amirul Mukminin untuk dapat kesenangan.
Sahabat tak gunakan kerja agama untuk dapat keperluan dunia. Hari ini kita gunakan kerja agama untuk tipu rakan seusaha dan umat dalam perniagaan.
Ada satu madrasah ada tanah wakaf, ada banyak rumput di sana. Di depan tanah wakaf itu ada satu keluarga pelihara lembu susu. Dengan susu dari lembu itu lah nafkah mereka.
Satu hari dia tak tambat lembu, lembu itu telah makan rumput di tanah wakaf. Apabila ayahnya nampak, ayahnya terkejut. Minta maaf dengan madrasah dan susu hari itu semua beri pada madrasah. Jangan sesiapa minum susu dan ambil susu. Hari ini semua milik madrasah sebab lembu telah makan rumput di tanah wakaf.
Isteri Umar r.a. bernama Hazrat Atiqah r.anha. Ketika raja Bahrain tadi datang, dia terasa nak beri hadiah pada permaisuri raja Bahrain. Tapi mereka miskin, tiada simpanan apa-apa. Walaupun isteri Amirul Mukminin tapi tiada harta.
Hari ini wanita jadi kaya sebab tumpang kekayaan suami yang suaminya dapat dari sebab jawatan yang dia ada, lebih bahaya atas nama agama dan kerja agama. Belajarlah dari isteri Umar.
Isteri Umar pinjam satu dirham dan hanya mampu beli minyak wangi yang tersangat murah. Beri pada raja agar sampaikan pada permaisuri. Permaisuri sangat gembira dapat hadiah dari isteri Amirul Mukminin walaupun hanya minyak wangi murah tapi nilai tinggi kerana isteri Amirul Mukminin.
Permaisuri telah balas dengan permata dan berlian yang bernilai ribuan dinar kepada Hazrat Atiqah r.anha.
Hazrat Atiqah sangat gembira, dia telah letak atas katil. Bila Umar r.a. nampak, Umar sangat marah. Umar ambil permata itu dan bawa ke pasar untuk tanya berapa nilai. Umar jualkan. Satu dirham diberi pada isterinya. Baki dia masukkan kepada Baitul Mal untuk orang miskin. Umar kata, kamu dapat berlian itu kerana permaisuri itu dengar kamu isteri Amirul Mukminin. Aku tak nak agama digunakan untuk dapat dunia.
Gangha lebih baik dari candha. Meniaga lebih baik dari minta sedekah. Minta yuran untuk orang belajar agama lebih baik dari merayu duit zakat.
Hazratji Maulana Ilyas رحمه الله kata, zakat ialah kerak harta. Orang kaya asingkan sedikit dari hartanya untuk zakat. Kerak harta, daki harta.
Sebab itu untuk orang miskin, berilah zakat. Setelah hak zakat telah tertunai, harta yang bersih yang bukan zakat itulah barulah guna jika nak beri pada madrasah atau ulama kerana ajar anak kita atau ajar umat. Jangan beri ulama daki harta. Ini sangat menghina ilmu.
Umar r.a. ada dua helai baju. Satu yang elok dan satu lagi yang bertampal. Bila raja besar atau wakil luar datang jumpa Umar, Umar akan pakai baju elok supaya orang luar tak nampak yang dia susah. Dia tak nak orang ingat dia berhajat. Dia tutup kesusahan dia dari pengetahuan orang luar.
Hari ini kita depan orang besar pakai pakaian yang nampak susah agar kita ditawarkan harta. Tunjuk yang kita berhajat. Tapi tidak pada sahabat.
Tajammul iaitu berhias dengan pakaian yang mahal akan menyebabkan takabbur.
Umar pakai sekejap sahaja. Bila raja itu balik, segera dia tukar baju jubah tampal semula kerana tidak mahu dengan pakaian tadi datangnya takabbur.
Hazrat Maulana Syed Ahmad Khan رحمه الله kata, orang yang jatuh atas lecak boleh bangun, tapi kalau jatuh atas harta, dia tak boleh bangun.
Sesiapa yang terhutang budi untuk seseorang, kamu akan berat nak tashkel dia. Kamu akan kata dia dah banyak korban. Ini penghalang pada kerja agama.
Ada orang berpangkat nak beri harta pada Imam Bukhari رحمه الله, Imam Bukhari tak nak terima kerana tidak mahu kerana ehsan orang yang berpangkat ini nanti satu masa dia akan minta aku beri fatwa yang bertentangan syariat. Jangan terhutang budi dengan orang kaya.
Ayah Imam Malik رحمه الله pernah beri duit pada Imam Malik dan berkata gunakan duit ini untuk ilmu supaya tidak mengemis untuk menuntut ilmu.
Ada seorang lelaki khawas, dia mula bantu Mazahir Ulum. Setelah dia banyak bagi sumbangan, dia rasa dia perlu beri pandangan untuk madrasah. Dia mula hadir mesyuarat-mesyuarat madrasah.
Ini masalah yang berlaku hari ini. Bila ada orang kaya selalu sumbang di madrasah, dia nak pegang kita. Dia rasa syor dia mesti kena terima. Dia buat madrasah ikut otak dunia dia. Jangan beri orang dunia kuasai madrasah kita. Dia nak sumbang itu hak dia, kita jangan minta. Tapi jangan beri dia peluang untuk bawa pemikiran dunia dia dalam madrasah kita.
Akhirnya orang tadi mengatakan sebab saya banyak sumbang, saya rasa nak syor. Pelajar di Mazahir Ulum ini bagus belajar bahasa English sikit sebab keperluan semasa sekarang. Paling tak nanti dia keluar madrasah, dia tak malu, umur sudah 25 tahun tapi English pun tak tahu. Nak naik bas nak ke mana pun susah sebab nak baca English pun tak pandai.
Maka Hazrat Sheikh Arshad Madani berkata, disebabkan kamu rasa kamu banyak sumbang untuk Mazahir Ulum kamu layak beri syor dan orang kena dengar syor kamu sebab sumbangan kamu, baik sekarang ambil semua harta kamu dan jangan sumbang lagi kerana belajar English itu bukan keperluan semasa tetapi kamu yang terkesan dengan suasana.
Sesekali tak boleh gabungkan kemahiran dunia dengan belajar agama. Akan rosakkan minat anak-anak untuk belajar agama. Kami tak akan buat. Kamu rasa orang belajar agama umur 25 akan malu sebab tak boleh English. Jika dia tak tahu nak naik bas mana, tanya sahaja, tak perlu malu.
Budak muda di luar ada yang umur 25 tak tahu mandi wajib pun tak malu, kamu tak bimbang pula. Kenapa anak murid kami perlu malu umur 25 tahun tak boleh English hanya nak kena tanya nak naik bas mana. Mulai sekarang kamu jangan sedekah lagi.
Jangan terhutang budi dengan mana-mana orang kaya yang menyumbang di madrasah hingga kita kena ikut dia atur madrasah kita ikut otak pemikiran dunia dia, bukan ikut tertib madrasah. Memasukkan pengajian dunia dalam madrasah akan merosakkan minat anak untuk belajar agama.
Bagaimana baju digunakan untuk tutup aurat, begitulah tutup hajat dari pengetahuan orang lain.
Hazrat Maulana Yusuf رحمه الله kata, bila kamu dapat hadiah disebabkan kamu buat dakwah, maka belanjakan untuk jalan Allah. Jika kamu guna untuk peribadi, kamu akan cinta usaha ini atas sebab nak harta dan hadiah lagi.
Umar r.a. nampak hambanya Aslam pakai kurta cantik. Dari mana kau dapat kurta ini? Kata Aslam, Abdullah bin Umar anak kamu yang beri. Baik, jika anak aku beri tak mengapa, tapi jangan orang luar kerana aku tak nak ini jadi rasuah kerana kau hamba Amirul Mukminin.
Ada seorang lelaki banyak korban, dia khawas. Dia nak beri hadiah pada semua mukimin dan anak-anak mukimin dan cucu-cucu mukimin. Maulana Yusuf رحمه الله tak terima, tidak mahu terhutang budi dengan orang.
Dulu dia datang kamu hormati dia kerana korban dia, tapi lepas ini kerana kamu berharap dia akan beri lagi. Bahkan anak-anak yang dapat sesuatu dari orang lain atas sebab ayahnya ada kedudukan akan merosakkan dia dan dia menjadi anak-anak yang sentiasa berharap dapat lagi dari orang.
Perkara yang akan hapuskan sunnah adalah inginkan kemudahan. Musuh sunnah adalah inginkan kemudahan. Kamu selalu tertipu bahawa agama ini mudah.
Aku sangat kecewa ada orang kata makanan Nizamuddin tak sedap hingga dia sanggup menyalahi sunnah, sanggup duduk atas kerusi makan di kedai sebab nak cari makanan lain. Dia tak rela makan bertentangan dengan nafsu mereka di Nizamuddin sedangkan dimasak oleh orang yang jaga amal. Kedai-kedai depan ini makmur kerana tetamu kami yang datang ke Nizamuddin. Kamu semua datang Nizamuddin ini untuk ubah diri atau berubah ikut zaman. Fikirkan.
Hazrat Said bin Amir r.a., sahabat yang paling miskin, telah dilantik jadi gabenor di Homs. Setiap beberapa bulan, Umar r.a. akan panggil seluruh gabenor seluruh dunia untuk beri karguzari di Madinah. Dia telah datang dengan berjalan kaki sejauh 2500 km. Sampai di Madinah, dia beritahu Umar r.a., Alhamdulillah diri dan darah aku bersih dari makan makanan yang diambil dari mana-mana orang Islam atas sebab kerana aku gabenor.
Umar tanya kenapa kau datang jalan kaki. Setahun kau di sana takkan mereka tak beri satu binatang tunggangan pun. Aku tak mahu ambil kesempatan dari apa yang diamanahkan ini.
Dia wafat dalam perjalanan balik ke Homs setelah beri karguzari ehwal umat di tempat dia. Umar r.a. suruh jenazah dia ditanam di Baqi bersama sahabat yang lain.
Sesiapa yang kerja di luar negara, keluarga semua ada di sini, dia sahaja kerja di luar, adalah kebodohan jika dia buat rumah di sana dan tiada rumah di sini sedangkan dia akan balik sini.
Begitulah perumpamaan dunia ini bukan tempat kita tinggal. Tempat sebenar ialah akhirat. Tapi ada orang rasa berjaya bina rumah besar di dunia ini adalah kejayaan dalam keadaan tiada apa-apa bekal dihantar di akhirat.
Ciri orang mukhlis, dia ada orang tak kisah, dia tiadapun orang tak cari. Ini orang ada kedudukan di sisi Allah SWT.
Boleh tak kita gantikan solat dengan duit? Tidak. Begitulah dakwah tak boleh ganti dengan duit. Ada orang kata, saya telah beri duit untuk buat masjid, kenapa saya perlu buat dakwah lagi.
Orang yang belanjakan harta tapi tak buat dakwah, dia tak dikira daie kerana orang musyrikin zaman jahiliah gunakan harta untuk buat Kaabah. Duit tak boleh ganti untuk keluar jalan Allah. Seorang yang tidur di jalan Allah pun lebih baik dari itu.
Kamu beri duit untuk lepaskan diri dari keluar jalan Allah. Ini adalah teknik berhadapan dengan penyamun. Orang Islam telah buat yang sama macam nak melepaskan diri dengan penyamun.
Emas pinjaman yang dibawa bersama Bani Israel telah menjadi sebab Samiri gunakan itu jadi anak lembu emas yang telah menyebabkan kesan buruk kemurtadan berlaku pada mereka.
Semoga Allah maafkan kita. Hari ini kerana dia ada harta, kita beri mimbar pada dia, dibawa duduk bersama dalam mesyuarat dan dia diberi peluang untuk beri syor kerana dia ada harta. Tiada Baitul Mal dalam tabligh. Jangan tertipu hingga dia dibawa safar bersama hanya kerana harta yang dia ada, bukan sebab kerja.
Ada orang datang Nizamuddin, dia tak diberi bayan di mimbar. Dia kata Hazrat Maulana Yusuf mungkin marah saya, kalau tak mesti saya diberi bayan. Hazrat Maulana Yusuf kata kamu ingat mimbar ini macam safrah makan, siapa-siapa sahaja boleh makan. Tidak sesuka hati boleh beri mimbar pada orang.
Seseorang yang sediakan keperluan orang haji, adakah rukun Islam hajinya tertunai? Tidak. Begitulah keluar jalan Allah. Pahala dapat jika kita siapkan bantuan untuk orang keluar jalan Allah, tapi tak tertunai tanggungjawab dakwah kamu. Dia hanya dapat pahala membantu sahaja.
Kita tashkel nyawa, diri, perlu ada naqlo harkat. Jangan terima harta mana-mana orang sebagai ganti untuk dia tak keluar jalan Allah. Jangan anggap kerja dia itu lebih baik dari dakwah. Tidak sama sekali. Kita nak tashkel tuan-tuan semua sambut takaza insyaAllah.
_copy paste; azharjaafar_