Friday, October 07, 2011

Golongan Ghuraba'

Seringkali kita mendengar tokoh-tokoh tertentu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mendabik dada dengan pengikutnya yang ramai mendapat sokongan yang kuat seolah-olah hendak membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar. Tetapi kita perlu ingat bilangan yang ramai itu tidak semestinya menunjukkan kita berada di pihak yang benar. Allah tidak menilai dan memandang kuantiti yang ada pada kita tetapi melihat kepada kualiti iman dan amalan kita.

Jika kita membaca hadith-hadith Nabi s.a.w kita akan dapati bahawa pihak yang benar di akhir zaman nanti ialah pihak yang sedikit bilangannya berbanding pihak yang berada di jalan yang salah.

???
Hadis daripada Thauban R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda; "Sentiasa ada satu golongan daripada kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, tidak akan memberi mudarat kepada mereka orang yang meninggalkan mereka sehingga datang hari kiamat dan mereka dalam keadaan tersebut". (Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas membuktikan bahawa pada akhir zaman nanti pejuang-pejuang kebenaran dan mereka yang menyeru kepada ma'ruf dan mencegah kemungkaran bukan daripada kalangan yang ramai tetapi terdiri daripada kumpulan yang kecil. Mereka akan berjuang menegakkan kebenaran, mengajak kepada berpegang dan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-sunnah, bersabar di atas segala celaan dan hinaan dan tidak takut kepada ancaman.

Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita telah merasai keasingan Islam itu.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaiman ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah orang asing itu?. Rasulullah s.a.w menjawab orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa". (Riwayat Muslim)

Terdapat pelbagai riwayat yang menjelaskan maksud ghuraba' (asing) sebagaimana yang terdapat dalam hadith ini antaranya ialah golongan soleh yang bilangannya sedikit dalam kumpulan ramai yang melakukan kejahatan. Antara sifat ghuraba' ialah tetap berpegang dengan ajaran Islam ketika masyarakat dalam keadaan rosak.

Perkara ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud; "Telah berpecah Yahudi kepada 71 kumpulan dan telah berpecah Nasrani kepada 72 kumpulan dan akan berpecah umatku kepada 73 kumpulan kesemuanya dalam neraka melainkan satu. Dikatakan siapakah dia wahai Rasulullah?. Jawab Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berpegang dengan apa yang aku pegang dan sahabatku".

Jika kita membaca sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w kita akan dapati bagaimana risalah Islam yang dibawa oleh Baginda dianggap asing sehingga ditentang hebat oleh kafir Quraisy Mekah. Dakwah kepada agama tauhid yang dibawa oleh Rasulullah pada peringkat awalnya hanya diimani oleh kalangan keluarga dan sahabat yang terdekat sahaja. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dianggap asing dan pelik oleh masyarakat Jahiliah apatah lagi Rasulullah s.a.w menentang berhala-berhala mereka, menentang amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan, menentang perzinaan, adat dan budaya yang biasa mereka agungkan.

Justeru, apabila Rasulullah s.a.w membawa sesuatu yang bertentangan dengan amalan nenek moyang mereka maka mereka mula bertindak balas dengan menghina, mencela Rasulullah dan menyeksa serta membunuh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Inilah gambaran tentang asingnya Islam itu pada peringkat awal dakwah Rasulullah s.a.w.

Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 120: "Setiap berita daripada Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya; telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman".

(petikan khutbah Jumaat Selangor 30 Sept 2011)



maju bukanlah terus ke depan,
tapi maju sebenar adalah kembali ke belakang..



 


Testimoni Penyimpan Emas

Dikongsikan di sini beberapa testimoni para penyimpan emas. Semoga bermanfaat. Pengalaman penulis sendiri cagar emas untuk keluar bertabligh...