Monday, April 06, 2020

Aku dan Covid19

Wow, blog dah bersawang.. ni baru betul laman sesawang.. hahaha..

Tetibe rasa nak update blog tapi gaya bahasa agak skima.. maklum la dah tua berumur.. ahaks

*****

1 Feb 2020
Aku keluar 40 hari di Bukit Beruntung. Jemaah kami 12 orang dan dibentuk di masjid Sri Petaling.

26 Feb 2020
Kami tangguh sementara dari Bukit Beruntung dan mula masuk ke masjid Sri Petaling untuk jur qudama.

Peta Penempatan


3 Mac 2020
Selesai jur kami sambung baki 6 hari di Bukit Beruntung. Malam pertama aku dah rasa tak lena tidur dan degupan jantung macam perlahan. Badan pun rasa lenguh-lenguh.

4 Mac 2020
Pagi-pagi aku pergi Klinik Kesihatan Serendah untuk pemeriksaan. Setelah ECG dan pemeriksaan, Dr. kata semuanya normal.

Klinik Kesihatan Serendah

Surau terakhir


9 Mac 2020
Jemaah kami balik ke masjid Sri Petaling untuk beri laporan usaha-usaha yang kami buat selama 40 hari. Malamnya aku dah mula rasa demam.

10 Mac 2020
10 pagi - Bayan nasihat diberi kepada jemaah kami dan jemaah-jemaah lain yang dah selesai 40 hari. Sebelum zohor, kami semua dah boleh balik ke rumah masing-masing. Aku masih demam. Isteri datang jemput aku balik ke rumah. Aku hadir ke masjid di rumah untuk solat zohor, asar, maghrib dan isyak.

11 Mac 2020
Sejak subuh lagi aku tak ke masjid dan solat di rumah saja. Demam tak surut-surut. Lepas maghrib aku ke Hospital Selayang untuk buat saringan Covid19 (swab test yang masuk kapas kat tekak dan hidung tu) setelah dengar berita kes positif Covid19 dari seorang rakyat Brunei yang hadir jur qudama. Anak sulong juga bersama ke hospital sebab dia juga hadir jur qudama tapi saringan Covid19 tak dibuat ke atasnya kerana dia tak demam.

Saringan Covid19


Balik dari saringan tu aku mula kuarantinkan diri dalam bilik di rumah. Demam turun naik. Berhubung dengan ahli keluarga pun guna whatsApp aje. Makan sorang-sorang, solat pun sorang-sorang dalam bilik. Keluar bilik pun untuk ke tandas je.

13 Mac 2020
Anak no 5, Mardhiah balik cuti dari madrasah di Selayang Baru.

14 Mac 2020
Amalan bacaan surah At Taghabun setiap pagi dah dimulakan dalam rumah oleh setiap ahli keluarga. Aku juga arahkan setiap ahli keluarga makan madu 4 kali sehari.

Anak no 3, Ammar yang selalu ke Hospital Selayang kerana buat hemodialisis telah dihantar ke wad di Hospital Sg Buloh untuk saringan dan kuarantin Covid19. Pihak hospital dapat tahu aku ayahnya telah hadir jur qudama dan sedang dalam kuarantin menunggu keputusan saringan. Cekap betul sistem treking Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ammar


Lepas isyak dapat berita ahli jemaah aku seorang cikgu pencen dah masuk ICU di Kedah kerana positif Covid19. Cikgu ni memang dah sakit sejak di jur qudama lagi.

15 Mac 2020
9.15 pagi dapat panggilan dari KKM dan bagitau aku positif Covid19. Aku redho aje la. Nak cakap apa lagi. Mereka sedang aturkan ambulan untuk bawa aku ke Hospital Sg Buloh. Sementara tu mereka minta aku beri butir-butir lengkap ahli jemaah yang sama-sama keluar 40 hari, keluarga yang ada hubungan rapat sejak aku balik dan orang tanggungjawab tabligh di Bukit Beruntung.

12 tengahari ambulan datang secara senyap dan bawa aku ke hospital. Dah masuk jalan besar baru siren dibunyikan. Di hospital, aku ditempatkan di wad 4D katil 5. Setiap wad ada banyak bilik. Satu bilik ada 4 katil. Katil 6 orang India baya-baya aku dan katil 7 seorang uncle Cina. Diorang 2 orang ni dah 2 minggu duduk wad. Katil 8 orang Melayu yang juga rakan tabligh yang aku kenal. Dia masuk lewat 2 jam dari aku. Jadi ada la kawan untuk solat berjemaah dan buat taklim selepas setiap waktu solat.



Aku dalam ambulan


16 Mac 2020
10 pagi isteri dan anak-anak no 1, 2, 5, 7 & 8 ke Klinik Kesihatan Taman Ehsan kerana KKM dah aturkan saringan Covid19 untuk keluarga aku. Abah pun kena saringan sekali sebab aku ada jumpa abah dan salam cium tangan masa di masjid pada 10 Mac 2020 tu. Aku di wad risaukan keluarga, mak dan abah. Banyak-banyak doa semoga semua sihat.

Yang hujung sana tu abah

Peace


6 petang dapat tahu anak no 4, Anas yang belajar di Sabak Bernam juga telah dibawa ke hospital Sabak Bernam bersama beberapa pelajar lain untuk saringan dan kuarantin Covid19 kerana mereka hadir jur qudama untuk khidmat parking.

Sehelai sepinggang.. ic pun x bawak


17 Mac 2020
Anas dan kawan-kawannya di bawa ke Hospital Sg Buloh untuk kuarantin sementara menunggu keputusan saringan. Jadi aku, Ammar dan Anas ada di Hospital Sg Buloh sekarang ni. Cuma kami tak dapat berjumpa kerana tak boleh keluar dari bilik wad masing-masing.

Petangnya, anak no 6, Mu’az pulak cuti madrasah. Isteri aku pergi ambil di Bangi Lama. Jadi sekarang semua anak-anak Amir, Humaira, Mardhiah, Mu’az, Mus’ab dan Ilyas selain yang di wad dah ada di rumah. Aku pesan pada isteri dan anak-anak supaya kuatkan amalan di rumah supaya cepatkan bantuan Allah angkat musibah.

Muka ada sinyum


18 Mac 2020
Perasaan di wad bercampur-campur. Aku banyak memikirkan hal isteri dan anak-anak. Apalah keputusan saringan mereka. Lepas tu fikir pasal abah, pasal mak. Aku cuba tenangkan diri dengan banyak bersolat sunat, baca quran, zikir dan doa. Sesekali isteri akan whatsApp aku bertanya khabar. Mak dan adik-beradik juga selalu memberi semangat kepada aku di dalam whatsApp group keluarga. Kawan-kawan juga ada yang call dan whatsApp untuk bertanya khabar.

Dalam wad ni kalau kita tak ada sesak nafas, cirit-birit atau lain lain-lain penyakit yang kritikal, maka ubat tak akan diberikan. Dr. kata 10 hari yang awal selepas terkena jangkitan Covid19 adalah waktu yang kritikal. Jika tak ada simptom yang berat, maka tak perlu makan ubat apa-apa. Cuma kena tunggu antibodi badan kita lawan dan bunuh virus tu. Cepat atau lambat, bergantung kepada kekuatan badan kita melawan penyakit, insyaAllah.

Dari tingkap wad


Aku secara persendirian makan madu 4 kali sehari, minyak habatus sauda (1 sudu kecil) 1 kali sehari, minyak zaitun 1 kali sehari (1 - 2 sudu) dan minum air suam 2 hingga 3 liter sehari. Setiap kali aku minum air, maka aku akan bacakan surah Al-Fatihah pada air.

Tengahari ni isteri bagitau saringan Covid19 pada 16 Mac hari tu untuk semua ahli keluarga aku negatif. Syukur pada Allah. Alhamdulillah petang ni dapat berita Ammar dan Anas dah boleh balik ke rumah sebab setelah beberapa kali saringan diorang negatif. Jadi sebahagian besar kerisauan aku masa dalam wad ni pun lenyap.

Brader india kat katil 6 dipindah ke bilik lain dan diganti dengan seorang melayu dan juga dari kluster tabligh. Jadi sekarang kami solat jemaah dan baca taklim bertiga.

19 Mac 2020
Alhamdulillah pagi ni aku rasa dah tak demam. Cuma sejuk aircond tu yang aku tak tahan. Masa dalam wad ni boleh kata setiap hari aku mandi lepas solat subuh walaupun masa demam. Lagipun nurse yang suruh kami mandi dan tukar baju.

Makanan kat hospital ni memang kelas. Makan tengahari (12 tengahari) dan malam (7 petang)  biasa lauk ayam dan ikan. Sarapan pagi (dalam pukul 7) dan minum petang (dalam pukul 3) pun menu terbaik. Masalahnya tak ada selera nak makan. Makan suku dah tak lalu nak masuk. Sedih bila teringat makanan yang aku campak dalam tong sampah.

Katil aku


Layanan Dr. dan semua kakitangan wad sangatlah cemerlang. Walaupun kena kerja shift siang dan malam, lepas tu nak layan pesakit-pesakit yang berisiko tinggi macam kami, reaksi diorang nampak ceria je. Walaupun tak nampak muka sebab pakai mask, tapi dari mata boleh agak kesedian dan ketabahan diorang rawat pesakit. Sentiasa sedia membantu dan ambil berat ehwal pesakit. Hanya Allah yang boleh balas jasa diorang semua.

20 Mac 2020
Hari ni x-ray, ambil darah dan saringan Covid19 dibuat lagi kat aku. Sejak masuk hospital ni dah 2 kali x-ray, 2 kali ambik darah dan 3 kali saringan Covid19.

Tengahari anak sulung datang hantar air mineral. Apa-apa barang yang nak diberi kepada pesakit Covid19 hanya boleh diletak kat security guard di lobi. Tulis nama penerima, no wad dan katil, mereka akan hantarkan ke wad.

Kawan tabligh katil 6 dah boleh balik dan diganti dengan seorang haji dalam lingkungan umur lewat 60an. Haji ni orang Kg Baru. Teruk jugak semput dia sampai kena pakai wayar oksigen. Sepanjang malam dia batuk teruk.

Barang kiriman


21 Mac 2020
Pagi-pagi sebelum subuh darah aku diambil lagi buat kali ke tiga. Nurse kata darah yang semalam tu platlet rendah hingga 50 dan darah pekat. Normal platlet darah kena 150 ke atas. Jadi ujian denggi dibuat juga pada aku. Alhamdulillah negatif tak ada denggi.

Haji yang dari Kg Baru semalam dipindah ke wad lain. Mungkin ke wad yang lebih sesuai sebab keadaannya yang tak stabil.

11 pagi - panggilan yang ditunggu-tunggu. Dr. dari wad 4D call aku dan bagitau aku dah boleh balik rumah sebab dah 2 kali saringan Covid19 keputusan negatif. Terus aku ambil wuduk dan sujud syukur kepada Allah. Platlet darah pun dah naik hingga 150.

1.30 tengahari aku dijemput isteri tercinta untuk balik ke rumah. Aku perlu kuarantinkan diri di rumah untuk 14 hari. Jika engkar dan tertangkap, boleh didakwa di mahkamah dan dipenjarakan. Aku ikut aje. Bukan susah pun duduk rumah insyaAllah.

Text yang aku hantar ke wad 4D


27 Mac 2020
Pagi ni KKM aturkan saringan Covid19 lagi untuk isteri, anak-anak dan abah.. terima kasih KKM kerana ambil berat tentang kami.

Lepas zohor aku ke Hospital Sungai Buloh lagi kerana ada temujanji untuk pemeriksaan ulangan di klinik pakar. Sebahagian besar yang hadir bersama aku adalah kawan-kawan tabligh yang juga dah keluar wad dalam seminggu ni. Sekali lagi saringan Covid19 dibuat dan darah juga diambil. Kemudian Dr. ada tanya kalau pada waktu lain, hospital panggil untuk derma plasma darah, aku sedia ke? Tujuannya adalah untuk digunakan ke atas pesakit Covid19 yang kritikal. Aku kata boleh je insyaAllah.

Saspen pulak tengok warna plasma darah.
Ingatkan macam derma darah yang biasa je
(gambar dari internet)


30 Mac 2020
Dapat berita seorang lagi ahli jemaah aku masuk wad di Hospital Sg Buloh sebab positif Covid19. Ni yang aku heran sebab selepas 20 hari balik rumah baru dia disahkan positif. Mungkin dia dapat dari tempat lain.

01 April 2020
Hospital Sg Buloh telefon dan bagitau keputusan saringan Covid19 aku yang baru ni negatif dan aku tak perlu lagi datang ke hospital untuk temujanji yang berikutnya. Cuma kena duduk di rumah sehingga waktu kuarantin tamat. KKM juga menghubungi isteri aku dan bagitau semua keputusan saringan isteri, anak-anak dan abah adalah negatif. Nikmat Allah yang manakah yang aku nak dustakan?

Surau kami di rumah

Muazzin



05 April 2020
Hari ni aku dah bebas dari kuarantin Covid19. Syukur lagi pada Allah yang beri nikmat kesihatan kepada aku dan keluarga. Walaubagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia mesti dipatuhi.

Semoga Allah bebaskan kita semua dari wabak penyakit Covid19 dan penyakit-penyakit yang lain. Kita sama-sama doa supaya mereka yang masih dirawat di hospital agar segera sembuh dan boleh balik ke rumah segera.

Sekian.

Azhar Jaafar
Kepong, Kuala Lumpur.
06 April 2020



Update : 09 April 2020 
Alhamdulillah ahli jemaah aku yang masuk ward 30 Mac dah boleh balik rumah.

Update : 12 April 2020
Dapat berita haji di katil 6 tu dah meninggal dunia semalam (11/04/2020).
Sumber dari facebook anaknya.



إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُعنه

"Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia.". Aamiin Aamiin Aamiin..

Update : 27 April 2020
Alhamdulillah, ahli jemaah aku Cikgu Shuhaimi (bersara) dari Kuala Nerang, Kedah dah keluar dari wad hospital di Kedah hari ni.. beliau masuk wad kerana Covid19 sejak 12 mac lepas.. masuk icu begitu lama dan sepanjang rawatan pernah dikomakan..

Cerita dari whatsApp

*****

Iklan;

Bisnes takaful dan roadtax kami beroperasi sejak 2006. InsyaAllah.

Baharui takaful dan roadtax kereta dari smartfon anda.
1. WhatsApp geran kereta anda ke no www.wasap.my/+60166827679
2. Kami akan beri harga
3. Jika setuju dengan harga, anda bayar online
4. Roadtax dihantar dalam 2 hari bekerja InsyaAllah

🚩 Bantuan jalanraya 24jam.
🚩 Towing percuma untuk 100km (Takaful Ikhlas) & 50km (Takaful Malaysia)
🚩 Cas pos untuk roadtax hanya RM2 sahaja (untuk premium RM350 ke atas)

AGENSI AZHAR JAAFAR (MP0001917-U)
AGEN KOD :
GG09825 (TAKAFUL IKHLAS BHD)
GCA03673 (SYKT TAKAFUL MALAYSIA BHD)

Testimoni Penyimpan Emas

Dikongsikan di sini beberapa testimoni para penyimpan emas. Semoga bermanfaat. Pengalaman penulis sendiri cagar emas untuk keluar bertabligh...