Sunday, September 19, 2010

Kepelbagaian Wadah Dakwah di Malaysia

Senario di Malaysia menyaksikan pertumbuhan pelbagai jemaah Islam yang ingin menyebarkan dakwah dan melaksanakan usaha tarbiah. Objektifnya sama namun masing-masing punya sarana dan pendekatan tersendiri. PAS, JIM, ABIM, ISMA, Salafi, Tabligh, Hizbut Tahrir dan pelbagai lagi jemaah Islam yang dijaharkan dalam pelbagai pertubuhan yang berdaftar.


Dakwah umpama air yang mengalir.

Usaha dakwah telah menyasarkan target seawal usia sekolah menengah, para pelajar IPT sehingga kepada golongan pekerja. Hal ini dilihat dari sudut yang positif dapat membantu usaha dakwah antara satu sama lain. Misalnya capaian dakwah yang berada di luar jangkauan sebuah jemaah dakwah, dapat ditampung oleh jemaah dakwah yang lain.

Kepelbagaian ini juga mendorong setiap jemaah untuk berlumba-lumba mempelbagaikan sarana dakwah sebagai tambahan kepada sarana sedia ada dan sarana konservatif supaya dakwah dapat diterima oleh pelbagai golongan dan tidak menjadi eksklusif kepada gologan tertentu sahaja.


Umat dahagakan hidayat.
Jika ada yang mengatakan kepelbagaian ini merugikan dan membuang masa kerana mewujudkan perpecahan, saya ulangi kenyataan yang telah disebutkan di atas, bahawa sarana dakwah adalah perkara furu' yang masih terbuka kepada khilaf dan ijtihad.

Masalah jemaah dakwah adalah masalah baru yang dibahaskan setelah kejatuhan khilafah. Ketika zaman khilafah Islamiyah memerintah, pecahan-pecahan jemaah tidak wujud kerana semua umat Islam memberikan wala' kesetiaan kepada satu Khalifah.

Dakwah asbab hidayat.
Adapun pada zaman kini, para ulama tidak mewajibkan semua jemaah yang ada berada di bawah satu pemerintahan kerana khilafah tidak wujud, sedangkan istilah 'Al-Jamaah' yang disebutkan dalam sekian hadith Nabi semuanya menunjukkan kepada Khilafah Islamiyah.

Jika setiap jemaah bersikap lapang dada, terbuka dan bersedia berkongsi idea, bergembleng tenaga dan bekerjasama dalam hal-hal yang boleh diwujudkan usaha sama, masakan akan wujud perpecahan dan perseteruan.

Umat bersatu melalui dakwah yang dibuat oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم
Namun realiti yang berlaku tidaklah seideal yang diharapkan. Kerjasama dan jabat tangan yang harmoni yang diharapkan antara jemaah-jemaah dakwah ini jarang berlaku. Malah kadang-kadang usaha tarbiah anggota jemaah juga turut menyelitkan sentimen negatif terhadap jemaah-jemaah lain. Kelemahan disingkap, diceritakan dan dijaja. Sehingga akhirnya yang wujud hanyalah pandangan serong terhadap jemaah terbabit.

Pernah suatu ketika seorang ikhwah membaca sepotong artikel yang ditampal di papan kenyataan masjid. Ketika melihat logo sebuah jemaah di akhir artikel, tidak semena-mena ikhwah tersebut ketawa. Saya yang terlihat situasi itu hairan dengan ketawa yang jelas bertujuan merendah-rendahkan.


Orang China pun dah buat dakwah.

“Fadha`il al-A'mal tu banyak hadith dhaif,” kenyataan bersifat tuduhan yang paling kerap kedengaran. Malangnya yang mengulang-ulang kenyataan ini adalah dari kalangan mereka yang selalu menghadirkan diri ke masjid dan surau. Natijahnya, apabila jemaah tabligh mula membacakan kitab fadha`il tersebut usai solat jemaah, mereka akan berundur ke belakang untuk bersembang kosong atau sibuk melayan telefon bimbit.

Yang terbersit dalam benak, “Apalah gunanya mendengar penyampaian hadith dhaif,” lagaknya seperti telah banyak hadith yang dipelajari dan dihafal. Saya menjadi lebih hairan.

Adakah mereka benar-benar pernah membaca kajian status hadith dalam kitab fadha`il tersebut sehingga menghukum kebanyakan hadithnya adalah dha'if dan maudhu'? Atau hanya mencukupkan diri dengan maklumat dari mulut orang lain yang entah dari mana sumbernya? Adakah mereka lebih arif tentang ilmu hadith daripada pengarang Fadha`il al-A'mal itu? Tidakkah mereka tahu bahawa pengarang kitab tersebut adalah Syeikh Zakaria al-Kandahlawi, seorang ulama hadith terkenal di India?

Beliau ialah menantu kepada Syeikh Ilyas al-Kandahlawi yang bertanggungjawab menubuhkan jemaah tabligh di India, juga merupakan seorang ahli hadith. Malah jika diperhatikan teks arab dalam kitab tersebut, setiap hadith yang dimuatkan sebenarnya telah disertakan dengan takhrij hadithnya sekali. Tak dinafikan memang wujud hadith dhaif, munqathi', dan sebagainya dalam kitab tersebut, namun ia telah disebutkan dengan jelas dan penuh amanah oleh Syeikh Zakaria.

Hanya menjadi kerugian apabila terjemahan ke dalam bahasa Melayu tidak menterjemahkan takhrij tersebut. Selain itu, sebenarnya amat banyak juga hadith-hadith yang dimuatkan adalah diambil dari Kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim.

Tulisan dicilok dari; http://tintadaawi.blogspot.com/2010/03/iklan-dan-aktivis-dakwah.html



Testimoni Penyimpan Emas

Dikongsikan di sini beberapa testimoni para penyimpan emas. Semoga bermanfaat. Pengalaman penulis sendiri cagar emas untuk keluar bertabligh...