Wednesday, October 12, 2011

Dakwah Kepada Heraclius

~ Hadrat Hisham bin Aas Umawi رضي الله عنه menceritakan; Saya dan seorang lelaki telah dihantar oleh Khalifah Abu Bakar رضي الله عنه untuk mengajak Heraclius, raja empayar romawi kepada Islam. Kami telah memulakan perjalanan kami dan setibanya kami di Ghowta, satu daerah di Damascus, kami telah berjumpa dengan Jabalah bin Ayham Ghassaani (pemerintah kawasan tersebut).

Dia duduk di atas takhtanya dan menghantar utusannya kepada kami untuk berkata-kata dengan kami. Walaubagaimanapun, kami telah berkata, “Demi Allah, kami sekali-kali tidak akan bercakap dengan utusan ini, sebab kami dihantar ke sini untuk bercakap secara terus dengan pemerintah, Jika dibenarkan, kami akan bercakap dengannya, tetapi bukan bercakap dengan utusan.

Apabila utusan tersebut melaporkan hal tersebut kepadanya, dia telah memberi kebenaran dan menyuruh kami supaya bercakap. Saya telah menceritakan dan mengajaknya kepada Islam. Apabila saya bertanya kepadanya tentang baju hitam yang dipakainya, dia menjawab, “Apabila aku memakai pakaian ini, aku telah bersumpah untuk tidak menanggalkannya sehinggalah aku menghalau kamu dan orang-orang kamu dari Sham.

Saya telah membalas kata-katanya dengan menjawab, “Di tempat ini, aku bersumpah dengan nama Allah, kami pasti akan mengambil alih Sham daripada kamu. Kami juga akan mengambil alih empayar ini, Insha Allah. Nabi Kami, Muhammad صلى الله عليه وسلم memberitahu kami tentang perkara ini.

Daripada kata-kata saya ini, dia (Jabalah bin Ayham Ghassaani) berkata, “Kamu bukanlah orang yang dimaksudkan tersebut kerana mereka yang dimaksudkan adalah orang-orang yang berpuasa di siang hari dan bersolat di malam hari.

Kemudian dia bertanya, “Bagaimana kamu dan orang-orang kamu berpuasa?” Apabila kami memberi jawapan, wajahnya terus pucat dan dia menyuruh kami untuk meninggalkannya. Selepas itu, dia telah menghantar utusannya untuk membawa kami berjumpa raja Heraclius.


Apabila kami sampai di tempat yang ditetapkan, utusan yang menemani kami berkata, “Binatang tunggangan kamu (keldai yang kurus) tidak dibenarkan untuk memasuki tempat ini. Jika kamu mahu, kami akan memberikan kamu kuda kacukan ataupun bangal untuk ditunggangi.

Demi Allah!” kami membalas, “Kami tidak akan memasuki bandar ini kecuali degan binatang kami ini (keldai yang kurus).

Mendengarkan kata-kata kami tersebut, utusan tersebut pun memberitahu keengganan kami kepada rajanya. Dan kami telah dibenarkan untuk masuk ke bandar tersebut bersama haiwan tunggangan kami. Dengan pedang yang bergantungan di leher kami, kami memasuki bandar tersebut dan sampai ke istana raja romawi. Dia (raja romawi) melihat kami dari atas istananya sedang kami duduk di atas keldai kami di bawah dan melaungkan kalimah “Laa Ilaaha Illallah, Allahuakbar.

Allah lebih megetahui bahawa istana itu bergegar sepertimana ranting pokok yang bergoyang apabila ditiup angin. Dia (raja romawi) memberitahu utusannya supaya melarang kami daripada melaungkan sebarang kata-kata. Jadi kami pun dibenarkan untuk memasuki istana tersebut. Apabila kami memasuki istananya, kami melihat dia duduk di atas hamparan yang empuk bersama dengan ketua tenteranya. Semua yang ada di dalam tersebut merah belaka, juga segala yang terdapat di sekelilingnya hatta baju yang dipakainya juga berwarna merah.

Ketika kami berjalan masuk, dia ketawa dan berkata, “Apakah yang menyebabkan kamu berani menyapaku dengan perkataan yang kamu gunakan sesama kamu?

Bersama-samanya ada seorang lelaki yang fasih berbahasa arab sebagai penterjemahnya. Kami menjawab, “Adalah dibenarkan bagi kami untuk menyapa kamu dengan perkataan yang biasa kami gunakan sesama kami, juga dibenarkan bagi kami untuk menyapa kamu dengan perkataan yang biasa digunakan sesama kamu.

Dan apakah perkataan yang kamu gunakan ketika menyapa orang-orang kamu?” dia (Heraculis) bertanya.

Assalamualaikum.” jawab kami.

Dia bertanya, “Bagaimana kamu menyapa pemimpin kamu?

Dengan perkataan yang sama,” kami menjawab.

Dan apa jawapannya?” dia ingin tahu.

Perkataan yang sama juga,” balas kami.

Heraclius bertanya lagi, “Apakah perkataan kamu yang paling mulia?

Kami menjawab dengan berkata, “Laa Ilaaha Illallah, Allahuakbar.

Istana tersebut bergegar dengan dahsyatnya setelah kami melaungkan perkataan tersebut sehingga raja tersebut mengangkat kepalanya melihat sekeliling.

Dia bertanya lagi, “Perkataan yang kamu ucapkan tadi membuatkan istana ini bergegar. Adakah setiap kali kamu mengucapkannya, bangunan-bangunan di tempat kamu juga bergegar sepertiman yang berlaku tadi?

Tidak,” kami menjawab. “Kami tidak pernah melihat kejadian seperti ini berlaku kecuali ketika bersama kamu.

Dia kemudiannya berkata, “Walaupun separuh daripada kerajaanku ini musnah, aku berharap agar setiap kali kamu mengucapkan perkataan tersebut, ia akan menyebabkan bangunan di sekeliling kamu runtuh dan menimpa kamu sendiri.

Mengapa begitu?” kami bertanya.

Kerana..” dia menerangkan, “..ini adalah lebih baik daripada menzahirkan tanda-tanda kenabian, dan perkara tersebut hanya akan diketahui oleh umum sebagai konspirasi.” Kemudian dia bertanya kepada kami banyak soalan dan kami menjawabnya dengan teliti sekali. Dia juga bertanya kepada kami bagaimana kami menunaikan solah dan berpuasa. Selepas menerangkan kepadanya, dia telah membawa kami ke suatu tempat....

Kami tinggal di sana selama 3 hari dan bertemu dengannya pada satu malam. Ketibaan kami, dia menunjukkan kepada kami satu peti besi besar yang diperbuat daripada emas yang mengandungi banyak bahagian yang kecil, setiap bahagian itu mempunyai pintunya yang sendiri.

Dia mengalihkan cebisan sutera hitam dan membukanya dan di dalammya terkandung gambar yang berwarna merah. Gambar itu menunjukkan seorang lelaki yang mata dan pinggang yang besar. Saya juga tidak pernah melihat seseorang yang mempunyai leher yang panjang sepertinya. Dia tidak berjanggut, dua ikat rambut, dan merupakan salah satu daripada orang-orang yang sangat indah dilihat yang telah Allah SWT telah ciptakan.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Adam عليه سلم

Kami juga menyedari bahawa dia mempunya rambut yang sangat banyak berbanding dengan orang biasa.

Heraclius kemudiannya membuka bahagian yang lain daripada peti dan mengalihkan cebisan sutera hitam daripadanya yang mengandungi gambar yang berwarna putih yang menunjukkan seorang yang berambut kerinting, mata yang kemerahan, dahi yang luas dan janggut yang tebal.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Nuh عليه سلم

Bahagian lain dibuka dan cebisan sutera hitam dialihkan daripadanya yang mengandungi gambar seorang lelaki yang mempunya wajah yang sangat bercahaya. Dia mempunya mata yang cantik, dahinya jelas dan menarik perhatian, pipi yang panjang dan janggutnya putih. Wajah lelaki itu tersenyum.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Ibrahim عليه سلم

Kemudian dibuka lagi bahagian yang lain yang mengandungi gambar yang berwarna putih. Demi Allah, itu adalah gambar Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami mengetahuinya,” balas kami.

Ini adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم..”

Air mata kami mula bercucuran, Heraculis berdiri sebentar dan kemudian duduk.

Kamu bersumpah dengan nama ALLAH yang ini adalah dia (Rasulullah صلى الله عليه وسلم)?

Itu adalah beliau tanpa ragu-ragu.

Itu adalah seperti kamu melihatnya yang sebenar.

Heraclius berkata, “Gambar ini dari bahagian yang terakhir pada peti ini, saya membukanya awal untuk melihat reaksi kamu apabila melihatnya.

Heraclius membuka bahagian lain lagi dan mengalihkan cebisan sutera hitam . Gambar tersebut menunjukkan lelaki yang wajahnya sangat perang dan gelap. Rambutnya kerinting, matanya dalam dan tajam. Dahinya berkerut, giginya diketap dan mulutnya ditutup dengan rapat. Wajahnya menunjukkan dia sangat marah.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Musa عليه سلم

Selepas dari gambar tersebut ialah gambar yang menyerupai hazrat Musa عليه سلم cuma rambutnya berminyak, dahinya luas dan matanya sedikit juling.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Harun bin Imran عليه سلم

Pada bahagian peti yang lain, Heraclius mengalihkan cebisan sutera putih yang mengandungi gambar lelaki yang berkulit perang dengan rambut yang lurus. Ketinggian badannya pada takat yang biasa. Wajahnya menunjukkan dia sedang marah.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Lut عليه سلم

Heraclius membuka bahagian lain dan mengalihkan cebisan sutera putih , kami melihat pada gambar itu lelaki yang sangat kacak dengan muka yang kemerahan. Hidungnya mancung, pipi yang nipis dan wajahnya sempurna.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Ishaq عليه سلم

Heraclius membuka bahagian lain dan mengalihkan cebisan sutera putih , gambar tersebut lebih kurang seperti Ishaq cuma dia mempunyai tahi lalat pada mulutnya.

'“Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Yaakob عليه سلم

Heraclius membuka bahagian lain dan mengalihkan cebisan sutera hitam, ia mengandugi gambar seseorang yang mempunya kulit yang cantik, mempunyai hidung yang mancung, muka yang kacak dan badannya sempurna. Wajahnya bercahaya, sifat rendah diri dapat dilihat dari raut wajahnya yang sedikit kemerahan.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Ismail عليه سلم, datuk kepada nabi kamu.

Membuka lagi bahagian yang lain, Heraclius mengalihkan cebisan sutera putih yang mengandungi gambar seseorang yang menyerupai Hadrat Adam عليه سلم dan wajahnya seperti matahari itu sendiri.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu,” balas kami.

Ini adalah hazrat Yusuf عليه سلم

Heraclius membuka bahagian lain dan mengalihkan cebisan sutera putih yang mengandungi gambar lelaki yang wajahnya kemerahan. Dia mempunya betis yang kecil, matanya juga kecil, ototnya besar dan ketinggian yang biasa. Dia menggantungkan pedang disekeliling lehernya.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu.” balas kami.

Ini adalah hazrat Daud عليه سلم

Pada bahagian yang lain, dibuka dan dialihkan cebisan sutera putih. Ia mengandungi gambar lelaki yang mempunyai pinggang yang besar dan kaki yang panjang. Dia sedang menunggang kuda.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu.” balas kami.

Ini adalah hazrat Sulaiman bin Daud عليه سلم

Dibuka lagi bahagian yang lain dan dialihkan cebisan sutera hitam yang mengandungi gambar yang berwarna putih yang menunjukkan lelaki yang muda, janggut yang hitam pekat, rambut tebal, matanya tajam dam mukanya kacak.

Kamu tahu siapa dia?” Heraclius bertanya lagi.

Kami tidak tahu.” balas kami.

Ini adalah hazrat Isa bin Maryam عليه سلم

Kami telah bertanya kepada Heraclius, “Dari mana kamu mendapat gambar-gambar itu? Kami membenarkan gambar tersebut kerana ia mengandungi gambar yang serupa seperti nabi kami.

Heraclius menerangkan, “Gambar-gambar tersebut telah diberikan kepada Adam عليه سلم apabila beliau meminta kepada tuhannya supaya menunjukkan kepadanya para nabi dari keturunannya. Gambar ini kemudiannya disimpan di tempat di mana matahari terbenam. Kemudian Zulkarnain telah mengambilnya dan memberikannya kepada Danial عليه سلم

Dengar baik-baik! Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa aku lebih sanggup mengorbankan kerajaanku dan menjadi hamba kepada ketua yang terhina di kalangan kamu dan mati seperti itu (daripada aku memeluk Islam dan dimalukan di depan semua rakyatku).” Heraclius kemudiannya memberikan kepada kami hadiah yang mahal dan mengucapkan selamat tinggal kepada kami.

Kami pulang dan melaporkan kepada Hadrat Abu Bakr tentang segala apa yang kami lihat dan segala sesuatu tentang apa yang diperkatakan oleh Heraclius.

Mendengar laporan tersebut, air mata Hadrat Abu Bakar berlinangan dan berkata,
Orang yang kasihan, jika ALLAH mahukan kebaikan untuknya, maka dia pasti memeluk Islam. Rasulullah  صلى الله عليه وسلم memberitahu kami bahawa mereka (orang-orang kristian seperti Heraclius) dan juga orang-orang yahudi, mempunyai keterangan tentang Muhammad صلى الله عليه وسلم bersama mereka.


~ Hadrat Jubair bin Mut'im رضي الله عنه berkata, (Ketika aku di bawa oleh beberapa paderi ke gereja) mereka (menunjukkan ke arah suatu gambar dan) bertanya, “Adakah kamu lihat dia?

Ketika saya melihat, saya mendapati gambar itu seperti gambar Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Saya juga mendapati gambar Abu Bakar رضي الله عنه yang mana telah mengikuti jejak langkah Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Adakah kamu nampak ciri-cirinya?” mereka bertanya.

Saya sudah pasti” jawab saya.

Sambil menunjukkan ke arah gambar Rasulullah, mereka bertanya, “Adakah ini dia (Rasulullah صلى الله عليه وسلم)?

Saya menjawab, “Demi Allah! Itulah dia. Saya pasti itulah dia.

Mereka bertanya lagi, “Dan adakah kamu mengenali seseorang yang mengikuti jejak langkahnya?

Ketika saya membenarkannya soalan itu, mereka berkata, “Kami pasti bahawa dia adalah ketua kamu pada masa ini dan khalifah selepasnya.

Dalam riwayat yang lain, dikatakan bahawa Hadrat Jubair رضي الله عنه bertanya, “Dan siapakah orang yang mengikutinya itu?

Paderi-paderi itu menjawab, “Sepatutnya, akan ada nabi selepas nabi, kecuali nabi ini (Rasulullaah  صلى الله عليه وسلم). Tidak akan ada nabi lagi selepasnya, jadi di sini ialah khalifah.

Apabila Hadrat Jubair melihat dengan lebih dekat lagi (pada gambar tersebut), dia mendapati bahawa orang tersebut ialah Hadrat Abu Bakr رضي الله عنه.

(Dipetik daripada Hayatus sahabah jilid 3 susunan Maulana Muhammad Yusuf Kandahlawi)






Friday, October 07, 2011

Golongan Ghuraba'

Seringkali kita mendengar tokoh-tokoh tertentu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mendabik dada dengan pengikutnya yang ramai mendapat sokongan yang kuat seolah-olah hendak membuktikan bahawa mereka berada di landasan yang benar. Tetapi kita perlu ingat bilangan yang ramai itu tidak semestinya menunjukkan kita berada di pihak yang benar. Allah tidak menilai dan memandang kuantiti yang ada pada kita tetapi melihat kepada kualiti iman dan amalan kita.

Jika kita membaca hadith-hadith Nabi s.a.w kita akan dapati bahawa pihak yang benar di akhir zaman nanti ialah pihak yang sedikit bilangannya berbanding pihak yang berada di jalan yang salah.

???
Hadis daripada Thauban R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda; "Sentiasa ada satu golongan daripada kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, tidak akan memberi mudarat kepada mereka orang yang meninggalkan mereka sehingga datang hari kiamat dan mereka dalam keadaan tersebut". (Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas membuktikan bahawa pada akhir zaman nanti pejuang-pejuang kebenaran dan mereka yang menyeru kepada ma'ruf dan mencegah kemungkaran bukan daripada kalangan yang ramai tetapi terdiri daripada kumpulan yang kecil. Mereka akan berjuang menegakkan kebenaran, mengajak kepada berpegang dan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-sunnah, bersabar di atas segala celaan dan hinaan dan tidak takut kepada ancaman.

Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita telah merasai keasingan Islam itu.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud; "Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaiman ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah orang asing itu?. Rasulullah s.a.w menjawab orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa". (Riwayat Muslim)

Terdapat pelbagai riwayat yang menjelaskan maksud ghuraba' (asing) sebagaimana yang terdapat dalam hadith ini antaranya ialah golongan soleh yang bilangannya sedikit dalam kumpulan ramai yang melakukan kejahatan. Antara sifat ghuraba' ialah tetap berpegang dengan ajaran Islam ketika masyarakat dalam keadaan rosak.

Perkara ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud; "Telah berpecah Yahudi kepada 71 kumpulan dan telah berpecah Nasrani kepada 72 kumpulan dan akan berpecah umatku kepada 73 kumpulan kesemuanya dalam neraka melainkan satu. Dikatakan siapakah dia wahai Rasulullah?. Jawab Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berpegang dengan apa yang aku pegang dan sahabatku".

Jika kita membaca sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w kita akan dapati bagaimana risalah Islam yang dibawa oleh Baginda dianggap asing sehingga ditentang hebat oleh kafir Quraisy Mekah. Dakwah kepada agama tauhid yang dibawa oleh Rasulullah pada peringkat awalnya hanya diimani oleh kalangan keluarga dan sahabat yang terdekat sahaja. Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dianggap asing dan pelik oleh masyarakat Jahiliah apatah lagi Rasulullah s.a.w menentang berhala-berhala mereka, menentang amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan, menentang perzinaan, adat dan budaya yang biasa mereka agungkan.

Justeru, apabila Rasulullah s.a.w membawa sesuatu yang bertentangan dengan amalan nenek moyang mereka maka mereka mula bertindak balas dengan menghina, mencela Rasulullah dan menyeksa serta membunuh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Inilah gambaran tentang asingnya Islam itu pada peringkat awal dakwah Rasulullah s.a.w.

Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 120: "Setiap berita daripada Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya; telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang yang beriman".

(petikan khutbah Jumaat Selangor 30 Sept 2011)



maju bukanlah terus ke depan,
tapi maju sebenar adalah kembali ke belakang..



 


Monday, October 03, 2011

Mus’ab bin Umair (مصعب بن عمير)

Mus’ab bin Umair adalah sahabat Rasulullah S.A.W. yang sangat berjasa dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam, dia berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu bersaing dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Mus’ab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

dari tingkap itu..
Mus’ab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Mus’ab telah menganut Islam. Ibunya telah mengurung dan menyeksa Mus’ab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Mus’ab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Mus’ab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Mus’ab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesu. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya. Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Mus’ab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Mus’ab kepada ibunya: “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya daku tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”.

Apa lagi, lemahlah si ibu mendengar jawapan si anak. Dengan jawapan tersebut juga, Mus’ab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Mus’ab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu. Untuk meneruskan kehidupannya, Mus’ab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Mus’ab. Adik-beradik Mus’ab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Mus’ab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Mus’ab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping lantaran penyiksaan Quraisy ke atasnya. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah.

Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:
“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu daku melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya”.

Apabila ibu Mus’ab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Mus’ab yang bernama Al-Rum untuk memujuknya. Namun Mus’ab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, Al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya.

dan dari tingkap ini..
Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata:
Kami sedang duduk bersama Rasulullah saw di dalam masjid. Tiba tiba datang Mus'ab bin Umair ra, dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah sa melihat kepadanya, baginda menangis dan menitis air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah).
Kemudian Nabi Muhammad saw bersabda:
Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula, dan bila diangkatkan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain, dan kamu menutupi (menghiasi) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?
Maka jawab sahabat:
Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki.
Lalu Nabi saw bersabda:
Tidak, keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu.
(Hadis riwayat Turmizi)

Mus’ab, adalah orang pertama diutus oleh Nabi ke Madinah untuk berdakwah. Hasil dakwahnya, pada tahun tersebut 12 orang Madinah Masuk Islam dan bertemu dengan Nabi di Musim Haji untuk mengikat janji setia dengan Nabi (Perjanjian Aqabah 1). Pada tahun berikutnya 70 lagi orang Madinah masuk Islam dan datang ke Mekah di musim Haji untuk berjanji setia dengan Nabi (Perjanjian Aqabah 2). Kejayaan cemerlangnya inilah, pembuka jalan kepada Nabi dan para sahabat untuk berhijrah ke Madinah.
    Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Mus’ab ditugaskan memegang bendera-bendera Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Mus’ab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: "Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul."
      Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan menetak tangan kanannya yang memegang bendera Islam. Mus’ab menyambut bendera itu dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk bendera itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada’ Uhud.

      Al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan bendera tersebut daripada jatuh ke bumi. Al- Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Mus’ab. Al-Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup jenazahnya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air mata baginda.

      Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur:
      "Apabila ditarik kainnya ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik kainnya ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu (daun azka)."

      Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah. Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.

      Mus’ab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Mus’ab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana berbanding darjat dan kehidupan serba mewah. Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan akhirat.

      *******

      no 3 - 6 bersama no 7..
      dan no 7 itu diberi nama Muhammad Mus'ab..
      selamat dibotakkan pada 27/09/2011..
      semoga menjadi seperti sahabat..




      Tuesday, September 27, 2011

      Msyt Nzmdn - bhg 1 (awal)

      16 Sept 2011
      Hari yang ditunggu-tunggu.. penuh debaran.. dada aku bukan setakat berbunyi dup dap dup dap.. tapi dah tahap drum double bass.. walaupun hari ni hari Malaysia.. dan aku rakyat Malaysia.. tapi aku dihantar untuk seluruh manusia seluruh dunia.. siapa kata ni? Allah lah kata.. cer check quran..

      Semua persiapan duniawi aku dah buat.. tafakud.. passport.. visa.. tiket kapalterbang.. ringgit.. Persiapan amal aje yang masih banyak kantoi.. Ya Allah.. pilih lah aku kerana kelemahan ku demi ke Rahiman Mu.. InsyaAllah petang ni aku akan terbang ke Delhi India untuk menghadiri mesyuarat Malaysia di Nizamudin..

      [ Buat ape korang pegi India? KLIK SINI ]

      أمر على الديار ديار ليلى
      أقبل ذا الجدار وذا الجدارا
      و ما حب الديار شغفن قلبي
      ولكن حب من سكن الديارا
       

      ku lalui kubu ini, kubu (diaman) Laila..
      ku cium tembok ini dan tembok itu..
      dan bukanlah cinta dinding itu yang telah merampas hatiku..
      tapi cinta si dia yang mendiami dinding-dinding itu..

      ready..
      9.30 pg - angkut family ke rumah mak.. alasan? nak sarapan.. sebenarnya belum bagitau mak lagi ni nak ke India.. dengan keadaan ahlia aku yang sarat dan menunggu hari ni, camne la nak slow talk ni.. tengah aku mneyenduk nasi lemak ke pinggan, tiba-tiba mak bersuara..

      "mak dengar kau nak pegi jauh.."

      "erk.." (mana pulak mak tau ni..)

      "semalam adik kau tepon.. dia kata dalam facebook kau kata nak ke India.. ni (ahlia) nak besalin ni camane?"

      "err.. pegi lima nam hari je mak.. lagi pun (ahlia) due 30 hari bulan.." (walaupun ikut pengalaman aku, ahlia aku biasanya bersalin 2 minggu awal..)

      "kalau lima nam hari tak pe lah.. mak ingat kau nak pegi dua tiga bulan.. biarlah mak tengokkan (ahlia).. kalau dia nak besalin nanti, tepon mak.. nanti abah hantar ke hospital.."

      "tima kasih la mak.." huh.. legas (plural kepada lega.. bermakna lega yang berbilang-bilang..) Alhamdulillah..

      11 pg - sempat lagi beropen haus (open house) kat rumah jiran setaman..  nasi lemak seround lagi sebab dalam hati kata nanti kat India mana nak jumpa nasi lemak.. huh.. ada masalah iman.. masih tak yakin dengan rezeki Allah..

      Lepas solat Jumaat, aku segera ke stesen komuter Kepong Central.. member sekepong aku pun ada sama..

      2.45 ptg - akhirnya komuter yang ditunggu pun sampai.. punya la ramai orang.. tapi no problem insyaAllah.. pengalaman aku naik bas mini no 31 selama tujuh tahun aku gunakan.. aku masuk dalam sampai jauh dari pintu.. alhamdulillah dapat tempat berdiri yang selesa.. member sekepong aku masih terperangkap di ambang  muka pintu.. badan tersepit dan iman menjerit.. huhu..

      3.20 ptg - sampai KL Central.. aku ingat nak naik bas dari sini ke LCCT.. rupanya naik train lagi.. pehh.. lagi bagus.. insyaAllah tak jem..

      KL Central ke Salak Tinggi..
      3.40 ptg - naik train ke Salak Tinggi..
      4 ptg - naik bas dari Salak Tinggi ke LCCT..

      4.20 ptg - sampai di LCCT.. pehh sekali lagi.. ramainya karkun kat sini.. ni semua nak gi mesyuarat la ni.. jalan sana karkun.. jalan sini karkun.. tapi kan.. nak ngumpat sikit.. heheh.. karkun kan.. dressing macam-macam.. ada yang josh dengan kurta dan serban.. yang tak josh macam aku hanya kurta dengn kopiah.. dan.. ada yang pakai baju raihan.. ada yang berbaju melayu.. ada yang berbaju batik.. ada yang pakai t-shirt & jeans + cap.. ada yang pakai t-shirt bola.. yang paling glamer pakai baju melayu siap samping dan songkok.. macam-macam ada..

      Aku dan kawan sekepong cari surau.. solat asar.. sebelum solat, ada satu karkun jumpa aku.. dia siap berjubah, berserban dan bertongkat.. dia bagitau; ada orang cakap kena pakai baju biasa-biasa aje.. takut kantoi kat airport India.. aku kata terpulanglah nak pakai apa.. lepas solat kami  masuk ke terminal untuk masukkan beg.. mat Ampang dan seorang lagi dah tunggu kami..

      Lepas letak beg.. duduk di mekdi sambil minum kopi panas dan makan donut dankin.. selesai minum, masa untuk boring boarding.. aku terserempak dengan karkun yang aku jumpa kat surau tadi.. dah tukar dressing.. pakai kemeja belia 4B dengan seluar panjang.. nak tergelak pun ada.. pada aku pakai la apa pun.. muka karkun tu mana nak sorok.. kalau ada rezeki kat India sampaila.. lagi pun sri petaling tak cakap apa-apa pasal dress code..

      6.15 ptg - boring (silap lagi..) boarding..
      7.15 ptg - terbang dengan izin Allah..

      bai serban merah ni pun istiqomah je..
      9.30 mlm (waktu India) - sampai ke delhi.. beza waktu 2½ jam.. jadi kat Malaysia dah jam 12 tgh mlm.. alhamdulillah tak de masalah kat airport.. airport ni pun dah baru.. ala-ala KLIA gitu.. jadi pegawai imigresen tu tak de la nak buat songeh sebab dah professional gamaknya.. aku, kawan sekepong & mat Ampang naik teksi ke masjid Banglewali.. 350 rupee.. kira-kira 23 ringgit aje..

      nan teksi..
      11.30 mlm - turun saja dari teksi kat simpang jalan, aku dah menghidu keharuman Masjid Banglewali.. aduss.. kami di bawa ke tingkat atas.. selesaikan pendaftaran, solat isyak & maghrib, makan dan tidur dengan senyuman di wajah dan syukur di hati..

      ~sebelum subuh aku turun ke tingkat bawah masjid.. sempat solat dua rakaat di bahagian masjid lama yang dibina M Ilyas rah.

      5.30 pg - solat subuh.. tapi imam bukan M saad.. kemana pulak M Saad ni?

      ~ BERSAMBUNG PADA BAHAGIAN 2 DI SINI ~








      Monday, September 26, 2011

      Msyt Nzmdn - bhg 5 (doa)

      20 Sept 2011
      5.30 pg - solat subuh di tingkat 4 lagi.. malas pulak nak turun ke tingkat bawah.. tapi sebenarnya nak feel lebih, elok solat kat bawah je.. sebab dapat dengar bacaan M Saad..

      6 pg - bayan subuh M Ahmad Lat.. aduh kena belasah lagi.. pedas dan berapi bayan maulana ni.. kelihatan asap nipis keluar dari telinga pendengar.. asap nipis juga keluar dari hidung orang yang tidur dalam bayan..


      8.30 pg - sarapan nasi lemak sambal ikan bilis sekali lagi.. dengan kejutan tambahan iaitu telur rebus sorang sebijik.. dan boleh upgrade kepada dua bijik kalau nak.. kepedesan sambal ikan bilis menyebabkan asap nipis telah keluar pula dari celah-celah ketiak..

      menunggu chai..
      10 pg - taklim..
      11.15 pg - bayan akhir M Saad & doa M Zubir..


      1.30 tgh - musafahah dengan M Saad & M Zubir..
      makan tengahari..

      ~ teringat kat rumah.. apa kabar bini aku?
      (ayat ni aku tulis dalam buku nota aku pd 2ptg waktu India bersamaan 4.30ptg waktu Malaysia..)

      2.30 ptg - solat zohor.. kemudian ada bayan hidayat untuk orang Malaysia yang nak keluar lepas mesyuarat..
      5.30 ptg - solat asar..
      kena try naik bende ni..
      6.30 ptg - solat maghrib..
      7 mlm - kira-kira 50 orang Malaysia yang akan tangguh dengan flight malam ni keluar meninggalkan nizamudin..

      8.30 mlm - makan
      10.15 mlm - solat Isyak dan hayatus sahabah..

      5.30 pg - subuh terakhir di nizamudin.. aku solat kat tingkat bawah.. betul-betul di belakang M Saad.. tapi di saf ke dua.. lepas subuh ada bayan tapi aku tak catit atau rekod.. sila dapatkan dari buku atau cd di pasaran.. bukan aku yang jual.. koh koh..

      ~ BERSAMBUNG PADA BAHAGIAN 6 DI SINI ~


      *ada orang tanya; kenapa tulis entri dengan susunan bahagian yang melompat-lompat?
      aku jawab; macam citer hindustan le.. byk flashback.. err cthnye citer slumdog millionaire.. heheh..








      Sunday, September 25, 2011

      Msyt Nzmdn - bhg 4 (azam)

      19 Sept 2011
      5.30 pg - solat subuh kat tingkat 4 aje..
      6 pg - bayan subuh M Ibrahim


      8.30 pg - sarapan
      9.30 pgi - taklim
      11 pg - targhib M Saad *(PENTING - sifat-sifat dae)


      12.30 tgh - makan lagi
      2.30 ptg - solat zohor
      3 ptg - targhib M Ahmad Lat


      4 ptg - semua kumpul ikut markas masing-masing untuk buat azam bagi pencapaian 2 tahun akan datang..

      *jadi.. korang tolong la ambik berat pasal azam-azam tu.. cer tengok-tengok sikit markas kat tempat korang.. atau ambik dari mesyuarat halkah.. bawa balik dan mesyuaratkan di mohalla.. atur kerja.. sebelum kita ditimpa kemaluan keaiban sekali lagi di mesyuarat 2 tahun akan datang..

      timbang-timbangkan..
      6.30 ptg - solat maghrib.. kemudian yasiin.. biasanya lepas yasiin terus doa.. tapi hari ni ada khutbah nikah.. kita yang tak paham urdu ni ingat M Zubair dah start doa.. jadi tadah tangan ramai-ramai.. lepas tu ada orang sound ni belum doa lagi..

      7.30 mlm - bayan M Ibrahim


      8.45 mlm - makan
      10.15 mlm - solat isak dan hayatus sahabah..

      *perghh.. hari ni memang kena belasah dengan bayan je.. nampaknya malam ni ramai yang tidur dengan lengan kat atas dahi..

      gosok.. jgn tak gosok..

      ~ BERSAMBUNG PADA BAHAGIAN 5 DI SINI ~





      Saturday, September 24, 2011

      Msyt Nzmdn - bhg 2 (tptn & mstrt)

      17 Sept 2011
      8.30 pagi - sarapan pertama di Banglewali Masjid..

      ada kenal?
      10.00 pagi - dengar kabar hari ni tak jadi karkuzari.. elders pegi ziarah Sharanpur..
       10.15 pagi - targhib oleh Prof Abd Halim
      • di zaman Nabi, 150 jemaah telah dikeluarkan dari Madinah.. 25 daripadanya disertai oleh Nabi.. 
      • Nabi telah beri begitu banyak galakan sehingga tiada yang dapat halang sahabat dari keluar di jalan Allah..
      • usaha tabligh adalah untuk mewujudkan semula manusia yang sanggup beri pengorbanan seperti sahabat.. 4 bulan, 40 hari dan sebagainya hanyalah sebagai latihan..
      • usaha ke dua yang dibuat oleh Nabi adalah usaha di tempatan..
      • melalui usaha tempatan, kekuatan beramal yang diusahakan semasa keluar dapat dikekalkan.. ramai orang yang begitu bersemangat di dalam amal semasa keluar telah menjadi lemah kerana tidak membuat usaha tempatan..
      • kerana kekuatan usaha tempatan oleh Nabi di Madinah menyebabkan orang munafik pun datang solat berjemaah..
      • usaha di dalam rumah juga terbentuk kerana wujudnya usaha tempatan.. agama isteri dan anak-anak dapat dihasilkan..
      • jika usaha tempatan kuat, maka bilangan jemaah yang keluar akan meningkat..
      5 Amal Jemaah Masjid
      Mesyuarat Harian
      • usaha akan menjadi kuat jika di dalam mesyuarat dapat libatkan orang dari berbagai golongan.. contohnya jika di dalam mesyuarat ada wakil dari pelajar, maka fikir dan usaha atas golongan pelajar akan terhasil..
      • dalam mesyuarat perlu fikir bagaimana 100% orang Islam dapat datang kepada usaha agama, 100% rumah dapat dihidupkan dengan taklim, 100% orang Islam mendirikan solat..
      • orang yang terputus dari mesyuarat telah terputus dari usaha..
      • melalui mesyuarat takaza harian dapat disempurnakan.. kerja dari setiap orang dapat diambil..
      2½ Jam
      • takaza setiap orang adalah untuk beri dakwah setiap hari.. iman akan menurun pada setiap hari-hari yang berlalu tanpa dakwah.. bila iman turun maka amal juga akan menurun..
      • ziarah ulama di tempatan untuk minta doa dari mereka.. jangan dakwah mereka..
      • sesekali ziarah kawan-kawan lama yang telah terpisah dari usaha.. sebelum jumpa, doa sungguh-sungguh pada Allah untuk mereka.. jangan sesekali cakap tentang keburukan mereka kepada orang lain..
      • nusrah jemaah yang datang..
      • beri bayan hidayat dengan sempurna pada jemaah-jemaah yang hendak keluar..
      • ambil karkuzari dari jemaah yang baru balik..
      • ambil tahu ehwal ahli keluarga yang ditinggalkan.. gunakan isteri kita untuk ziarah isteri mereka..
      Taklim Harian
      • di masjid dan di rumah..
      • orang yang ambil berat taklim di masjid akan ambil berat untuk buat taklim di rumah..
      • sediakan orang ramai untuk taklim harian melalui ziarah harian..
      • orang lelaki bertanggungjawab untuk hidupkan taklim di rumah kerana di akhirat nanti orang lelaki akan bertanggungjawab terhadap wanita-wanita..
      • lelaki yang tak wujudkan taklim di rumah sebenarnya tiada fikir akhirat untuk ahli rumah walau pernah keluar 4 bulan..
      • rumah yang ada taklim akan terbentuk suasana amal.. tarbiah untuk anak-anak; ½ datang dari suasana amal di rumah dan ½ datang dari ibu..
      • rumah akan terpelihara dari fasad bila ada taklim rumah..
      • adalah PENTING setiap lelaki dapat atur masa menyertai taklim di rumah bersama anak isteri..
      • taklim di rumah adalah beserta muzakarah 6 perkara @ 6 sifat sahabat..
      • gilirkan ahli rumah untuk baca kitab dan muzakarah..
      • jika taklim rumah dibuat ½ jam, maka 20 minit baca kitab dan 10 minit muzakarah..
      2 Gash Umumi
      • kehadiran setiap rakan seusaha adalah penting.. usuli mereka sebelum gash..
      • sangat penting menjaga adab usul..
      • jemaah tunai akan dapat dikeluarkan jika gash dibuat dengan pengorbanan.. contoh; jika gash pada hari Isnin, maka jemaah dikeluarkan pada hari Selasa..
      • sehingga kini telah ada tempat-tempat yang keluarkan jemaah 4 bulan / 40 hari melalui gash tempatan..
      • gash umumi menjadi ubat kepada banyak penyakit rohani (kata M Innamul Hasan)..
      • gash 2 di buat di tempat-tempat berhampiran.. adalah penting semua rakan seusaha hadir..
      • gash 2 dibuat di tempat usaha lemah atau tempat tiada usaha.. di tempat-tempat yang ada orang Islam tetapi tiada usaha, maka iman mereka dalam bahaya.. buat usaha sehingga hidup amal di sana..
      • di tempat-tempat yang ada orang Islam tetapi tiada masjid, minta orang tempatan sediakan bilik sebagai surau sementara supaya usaha dapat dimulakan..
      3 Hari
      • bawa orang baru di dalam jemaah 3 hari.. tashkil dibuat semasa usaha harian..
      • Allah telah terima setiap dari umat ini untuk buat usaha agama.. tuan-tuan yang sekarang ini telah jadi pemikir-pemikir agama, berasal dari keluar 3 hari..
      • tetapkan minggu untuk keluar 3 hari..
      • jika ramai orang baru, pecahkan jemaah..
      • masjid yang kuat adalah yang banyak keluarkan orang baru.. masjid yang lemah adalah yang tiada keluarkan orang baru..
      • jangan berkeras semasa tashkil orang-orang baru.. jika mereka tak keluar minggu ni, mungkin mereka akan keluar minggu depan.. jika mereka tak keluar bulan ni, mungkin mereka akan keluar bulan depan..
      • libatkan orang baru dalam amal harian..
      • dengan bertambahnya orang baru dalam jemaah 3 hari, maka akan bertambah orang ambil bahagian di dalam amal harian dan bilangan orang keluar 4 bulan / 40 hari..
      • tempat untuk keluar 3 hari adalah tempat yang ada orang Islam tetapi tiada amal masjid.. jumpa setiap orang Islam dan terangkan mengenai amal-amal agama dan usaha agama.. keluarkan jemaah tunai pada hari ke 3..
      • keluar 3 hari adalah untuk hidupkan usaha bukan untuk habiskan masa..
      12.30 tgh - makan.. menu yang sama seperti dulu.. nasi bersama kuah daging..
      + infradi amal..

      hati ku terpaut di sini..
      kiri; dalam masjid.. kanan; luar masjid..
      beding aku di kiri..
      2.30 ptg - solat Zohor dan taklim
      5.30 ptg - solat Asar
      di catat kehadiran ahli mesyuarat..
      Malaysia; 26 syura, 10 ulama setahun, 134 fikirman ~ jumlah 170 orang
      (dlm mesyuarat rabu KL 28/09/2011 - diberitahu jumlah hadir 185 org)

      Brunei; jumlah 48 orang

      6.30 ptg - solat Maghrib, yaasin & doa.
      Targhib usaha masturat Prof A Halim..


      10.15 mlm - solat Isyak dan hayatus sahabah..

      ~ BERSAMBUNG PADA BAHAGIAN 3 DI SINI ~




          Friday, September 23, 2011

          Msyt Nzmdn - bhg 3 (kkzri)

          18 Sept 2011
          5.30 pg - solat subuh aku di ground floor masjid.. diimami M Saad..
          6 pg - bayan subuh oleh M Ahmad Lat.. aku naik ke tingkat 4 untuk dengar terjemahan melayu..


          8.30 pg - sarapan untuk ahli mesyuarat di tingkat 5 iaitu tingkat bumbung yang dibumbungkan lagi.. Sarapan pagi ni agak luar biasa.. hampir-hampir menyebabkan semua pemakan atau pesarapan (betul ke bahasa cam ni?) terkujut.. nasi lemak sambal ikan bilis.. aku ulang.. nasi lemak sambal ikan bilis.. kenot imaging, kata orang terengganu.. menu yang sangat luar biasa di Delhi ni.. nasi guna beras India yang panjang pulak tu.. rizqun min Allah..

          dan acara kemuncak bagi sarapan adalah pengechaian atau pun minum chai.. orang Malaysia memang biasa minum teh gelas besar.. jadi cawan-cawan teh India yang kecik tu terpaksa dipenuhkan sehingga dua kali.. tiga kali.. empat kali.. dan lima kali oleh mamat bermuka selambe (termasuk aku..).

          dari bumbung masjid

          10.00 pg - bacaan taklim fadhail

          11.00 pg - M Saad dan hampir semua elders datang.. majlis karkuzari bermula..
          Intro dari M Saad.. "kami anggap tuan-tuan adalah jemaah yang dikeluarkan dari masjid Banglewali dan sekarang telah pulang untuk memberi karkuzari.. walaupun tuan-tuan tinggal jauh dari Nizamudin, tapi fikir tuan-tuan sama seperti Nizamudin, maka tuan-tuan adalah dekat dengan Nizamudin.. tetapi jika tuan-tuan tinggal dekat dengan Nizamudin, tapi fikir tuan-tuan tak sama dengan Nizamudin, maka tuan-tuan sebenarnya jauh dari Nizamudin.."

          ~ karkuzari diberi dari markas-markas seluruh Malaysia yang hadir.. peningkatan amal-amal masjid, bilangan jemaah-jemaah yang keluar serta bilangan karkun aktif / tak aktif.. wakil-wakil markas berdiri di depan dan baca setiap karkuzari diselangi dengan pertanyaan dari elders.. kemudian elders akan memberi ulasan..

          ~antara ulasan yang aku sempat catit..
          • jur masturat untuk yang berpengalaman 10 hari ke atas.. tashkil yang 10 / 15 hari untuk keluar 40 hari IPB.. tashkil yang 40 hari IPB untuk 2 bulan luar negara..
          • jumpa orang di luar masjid dan bawa ke masjid supaya dapat suasana amal masjid..
          • taklim harian guna kitab fadhail & muntakhab hadith..
          • sangat kurang orang Malaysia yang datang untuk khidmat 2 bulan di Nizamudin..
          • dari jumlah orang yang pernah keluar, jumlah yang tidak aktif sangat banyak.. oleh itu, seperti mana usaha yang banyak untuk orang-orang baru keluar, maka sebanyak itu juga usaha supaya yang pernah keluar dapat jaga cillah tahunan.. satu kerugian yang besar bila orang yang pernah keluar tidak dapat jaga nisab.. 
          • maulana Saad kata maksud AKTIF adalah yang dapat jaga nisab.. yang tak keluar nisab dikira TIDAK AKTIF..
          • bilangan masturat ke negara jauh sangat kurang kerana kurang fikir atas perkara itu..
          • perlu datang ke malam sabguzari dengan ahli jemaah masjid masing-masing secara sempurna.. balik dengan fikir untuk bawa jemaah tunai 4 bulan / 40 hari minggu depan.. orang-orang lama kena hubungkan diri dengan malam sabguzari untuk dapatkan makanan rohani.. orang-orang awam dihubungkan dengan amalan masjid di tempat kita..
          • setiap masjid perlu dihidupkan amalan dakwah, taklim dan istiqbal.. tidak semestinya hanya masjid ada 5 amal saja yang buat..
          • usaha dibuat di satu-satu masjid sehingga hidup amal di sana.. bukan setakat 3 hari.. perlu tambah masa.. gash 2, 2 1/2 jam dan sebagainya.. tiada tertib berapa had masa nak buat usaha di satu tempat..
          • orang Malaysia kurang fikir dan usaha untuk pelajar.. kena libatkan semua pelajar menengah, kolej dan IPT dalam usaha harian..
          • ambil masa dari semua orang.. jika tidak dunia akan ambil masa mereka..
          • kita kena istighfar dan taubat.. kena tengok berapa banyak lagi takaza yang belum dapat disempurnakan dan takaza yang perlu dibuat..
          ~karkuzari tamat pada jam 12.30 tgh.. kemudian disambung dari jam 3.15 ptg sehingga 4 ptg.. dan disambung lagi selepas maghrib, 7.15 - 8.30 mlm..

          dari tingkap..
          ~kekurangan dan kesilapan dari catatan ringkas aku di atas, aku minta maaf.. dari raut wajah para elders menunjukkan ketidak gembiraan mereka terhadap karkuzari Malaysia.. sehingga selepas waktu Asar aku dapat merasai masjid Banglewali bergoyang.. ya.. himalaya telah bergoncang.. bumi telah bergegar!
          {berita gempa di sini}

          ~semoga Allah ampun kita dan seluruh umat Islam..

          10.15 mlm solat isyak dan hayatus sahabah oleh M Saad..


          ~ BERSAMBUNG PADA BAHAGIAN 4 DI SINI ~




          Thursday, September 22, 2011

          Msyt Nzmdn - bhg 6 (akhir)

          21 Sept 2011
          9 pagi (waktu India)- sarapan pagi ni kat tingkat bawah bersama jemaah foreign yang lain.. nan kerat-kerat, cicah dgn kuah kima berkentang + cicah madu.. dan chai Banglewali masjid buat kali terakhir sebelum menyahcas berangkat balik KL.. ahh..

          Lepas sarapan, packing.. yang akan balik pagi ni adalah dalam 40 - 50 orang.. dan seperti biasa walaupun segala targhib telah diberi elders, jemaah Malaysia tetap pulang dengan membawa segala jenis harta ghanimah yang dirampas secara lembut dari bazar di sekeliling masjid..

          'merampas secara lembut..'
          10.15 pagi - tunggu van.. van sampai.. naik van.. (ye lah.. kalau van dah sampai nak buat apa lagi..) Van yang aku naik boleh muat 15 orang dengan harta ghanimah.. van ala-ala bas mini gitu.. sedih meninggalkan Masjid Banglewali.. huhu..

          kami, beg & budak perempuan peminta sedekah..
          Lebih kurang jam 11.20 pagi, kami dah sampai kat yerpot airport delhi.. pusing sana pusing sini.. besar gilak yerpot (hiss.. silap lagi..) airport ni..

          Dalam memusing-musing tu, orang yang buat usaha iman memang akhirnya sebuk mencari tempat nak solat jugak..  rupanya airport (haa.. dah tak silap..) delhi ni dah ada kemudahan surau.. 12.30 t/hari kami semua solat jamak Zohor & Asar kat situ..

          Lepas solat aku dan sebahagian manusia-manusia lain masih sempat menambah harta ghanimah..

          1.30 ptg - boarding

          2.30 ptg - I believe I can fly.. insyaAllah.. good bye India.. bumi Adam a.s diturunkan.. aku duduk bertiga sebaris dengan kawan seKepong dan Mat Ampang..

          Sambil menikmati pemandangan indah ciptaan Allah di luar tingkap, sempat juga menikmati penelanan beriyani dan nescafe panas di dalam tingkap..

          subhanallah..
          10.00 mlm (waktu Malaysia) - AirasiaX, selamat mendarat di LCCT.. kawan seKepong yang lain dah sedia menunggu ketibaan pulang wira-wira negara kami..

          11.00 mlm - solat jamak Isyak & Maghrib.. orang Kuching pun sama-sama join kami..

          12.30 malam - sampai rumah mak.. ahlia & anak-anak semua ada kat sana.. kenapa diorang kat rumah mak?

          jeng jeng jeng..

          jeng jeng jeng..

          jeng jeng jeng..

          jeng jeng jeng..

          jeng jeng jeng.. (maap.. terbanyak pulak jeng jeng jeng nya..)



          wong lanang.. dae insyaAllah..
          lahir 20/09/2011 @ 3.20 ptg dgn berat 3.57kg..
          "Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan." ~ Al Kahfi 46


          *maap lagi.. bhg 1-5 aku belum tulis lagi.. heheh.. harap berdemonstrasi bersabar..
          dah tulis siap @ 27 sept 2011.. terima kasih kerana sudi membaca.. aku cuma nak berkongsi pengalaman.. semoga dapat amal dan sampaikan..






          Membetulkan Solat

          Nasihat Hazratji Maulana Saad DB Alami Markaz Banglawalee Masjid, Nizammuddin. "Adalah penting untuk kita semua memperbetul...