Friday, August 28, 2009

Pisang Emas Dibawa Belayar

Masak Sesikat Di Atas Peti
Hutang Emas Boleh Dibayar
Hutang Solat, JANGAN Dibawak Mati..



Haa.. buat pe tu? Jangan korek hidung..

Dengar ni.. Satu benda yang aku nak ajak korang pikir bersama.. Kalau kita ada hutang duit dengan seseorang, patut ke kita beri sedekah duit kat seseorang yang lain?

Rasanya tak patut, sebab bayar hutang tu wajib dan beri sedekah tu sunat. Aku pernah dengar cerita Nabi SAW tak sedia nak solatkan jenazah seorang yang ada hutang sehinggalah seorang sahabat yang lain beri jaminan untuk bayar hutang tuh..

Huh.. berat kan?

Dulu pun aku dah tulis pasal benda ni kat sini; http://azharjaafar313.blogspot.com/2008/07/harimau-mati-meninggalkan-belang.html. Sapa suka bole baca..

Cerita pasal hutang lagi..

Kali ni bukan hutang duit tapi hutang solat..

Lagi berat bro.. (bukan beruk). Nak nangis mikirkannya.. Dalam hadis Nabi kata satu solat yang ditinggalkan dengan sengaja, maka orang tu akan diam dalam neraka selama satu hukub. Sahabat tanya apa tu satu hukub? Nabi jawab satu hukub bersamaan dengan 80 tahun akhirat. Sehari akhirat bersamaan dengan seribu tahun dunia..

Patutla dulu BPR nyanyi lagu 'Seribu Tahun Tak kan Mungkin..' (jangan nyanyi.. nanti kurang pahala puasa..)

Sekarang ni musim orang berlumba-lumba membanyakkan ibadah sunat termasuklah solat sunat. Baguskan? Lagipun satu sunat yang dibuat dalam bulan Ramadhan, Allah bagi satu pahala amalan fardhu.. Satu fardhu pulak dapat pahala 70 fardhu.. fuh!

Tapi..

Aku pernah dengar seorang ulama kata, kalau kita habiskan seluruh hidup dengan solat sunat, tak kan ganti satu solat fardhu yang kita pernah tinggalkan! Sebagaimana seorang yang berhutang duit, maka lebih fardhu dan afdhal atasnya mambayar hutang tu dari memberi sedekah, maka tersangatlah terlebih-lebih utamanya seorang yang pernah meninggalkan solat untuk membayar/ganti solat yang pernah ditinggalkan..

Ingat! Satu solat = satu hukub.. Berdebar jantung aku..


Semoga Allah ampunkan aku.. Dulu aku bodo.. (sekarang pun masih belum bijak lagi. Nabi kata orang yang bijak adalah orang yang banyak ingat mati dan buat persiapan untuk mati..)

Ulama tu kata, setengah ulama berpendapat haram solat sunat kalau ada hutang solat fardhu. Walaupun tak semua ulama berpendapat macam tu.. Tapi kira berat jugak lah.

Jadi jalan penyelesaiannya ada 2 cara;

1.kira agak-agak berapa banyak solat yang dah ditinggalkan. Habiskan satu hari, dua hari atau beberapa hari dari pagi sampai malam untuk ganti semua solat tu..

2.andai kata kita tak solat selama 10 tahun, maka dari sekarang hingga 10 tahun akan datang, setiap kali kita solat fardhu, kita iringi dengan satu lagi solat fardhu. Disamping tu jangan lepaskan solat-solat sunat.
Contohnya; lepas solat fardhu zohor, kita solat fardhu zohor sekali lagi. Kemudian kita tambah dengan solat sunat selepas zohor.. Andai kita mati sebelum cukup 10 tahun, sekurangnya kita ada niat dan kesungguhan untuk ganti solat dan mudah-mudahan Allah ampunkan dosa kita..

Dan.. jangan lupa banyakkan taubat dan istighfar. Banyakkan nangis depan Allah. Tak boleh nangis buat-buat nangis..

Doa juga untuk aku yang banyak dosa nih..

Friday, August 21, 2009

Semangat Yang Hilang


Ramadhan datang lagi.. mengingatkan aku kepada Ramadhan2 yang dulu. Ramadhan masa kecik, masa sekolah rendah, sekolah menengah, masa bujang, masa baru kawin.. Yang paling indah ialah Ramadhan masa keluar di jalan Allah.. huh..

Masa berlalu, baki umur semakin sikit.. Yang lepas dah pergi, tak tahu berapa baki yang tinggal.. Keinginan untuk dunia masih menebal.. Kerisauan terhadap kubur masih kurang.. Masih nak main2.. nak relak2.. lepak2.. enjoy.. peh..

Baru2 ni aku ada dengar nasihat dari seseorang.. Dia pun dapat nasihat tu dari ulama.. Dalam bulan Ramadhan ni, kita kena usaha di masjid2 kita 3 amalan yang dah semakin hilang..
  1. Solat Tarawih 20 rakaat - dibuat sejak zaman Umar r.a. Disepakati oleh ulama 4 mazhab dan itulah cara yang masih berjalan di Mekah dan Madinah sekarang. (Kaki solat 8 rakaat, biarlah dia nak solat 8 rakaat. Tapi di masjid perlu diadakan 20 rakaat untuk umum).
  2. Khatam 30 juzuk Quran dalam solat Terawih sepanjang Ramadhan. Ada 2 sunah kat sini.. Satu~ solat itu sendiri. Dua~ mengkhatam al Quran di dalam solat.
  3. Iktikaf di masjid pada malam 10 hari akhir Ramadhan bermula dari Maghrib 21 Ramadhan sehinggalah Maghrib 1 Syawal.. Macamana nak buat iktikaf ni kena rujuk betul2 kaifiatnya dari ulama.
Untuk hidupkan amalan2 ni,
  • kita yang kena mula dulu
  • ajak kawan2 yang lain
  • jangan berbahas dengan sapa2 pun
  • doa dan nangis pada Allah
  • rujuk pada alim ulama
Semoga Allah kembalikan Semangat Yang Hilang dari masjid2 kita.. amin.

InsyaAllah esok (Sabtu) khuruj 3 hari..

Thursday, August 20, 2009

Friday, August 14, 2009

Baki 3 minggu sebelum wafsi

dari khuruj Julai 2009..

Minggu 1
Bersama jemaah Emirates di Genting Highland.
Makan ais krim secawan kecik RM6.50 .
Huh.. kalau aku kat rumah boleh makan ais krim 2 liter satu family.

Minggu 2
Jemaah Emirates kat Langkawi. Minum kopi pun kat Starbuck..
Aku pun numpang aje laa..

Minggu 3
Jemaah China di Kajang.
Mereka ni lebih simple dan selambe..

Sunday, August 09, 2009

Tepuk Dada Tanya Iman..

Rumah di Holland - gambar hiasan

MELIHAT kepada situasi hari ini, semakin mudah untuk seseorang itu terlibat dengan amalan riba. Bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional mengamalkan riba dalam transaksi harian mereka.

Apabila individu mendapatkan pinjaman daripada bank-bank konvensional atau membeli produk-produk insurans daripada syarikat insurans konvensional, secara automatik individu tersebut akan terlibat dengan amalan riba.

Riba jika dilihat dari segi istilah bermaksud mengambil atau mengenakan tambahan ke atas harta atau nilai pokok atau modal secara batil. Ada beberapa pendapat dalam penjelasan makna riba.

Secara umumnya riba boleh disimpulkan sebagai pengambilan tambahan, baik dalam transaksi jual beli mahupun pinjam-meminjam secara batil yang bertentangan dengan prinsip muamalat Islam.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang maksud-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu...(an-Nisaa' : 29)

Di dalam al-Quran, perkataan riba ini diulang lapan kali di dalam empat surah iaitu surah al-Baqarah, ali-'Imran, An-Nisaa' dan Ar-Rum.

Ini menunjukkan bahawa pengharaman riba itu diturunkan secara berperingkat- peringkat seperti juga pengharaman arak kepada manusia.

Dalam Surah Ar-Rum ayat ke-39, Allah SWT telah menerangkan unsur negatif yang terdapat dalam riba. Riba itu tidak dapat memberikan apa-apa faedah sekalipun di sisi Allah SWT.

Sebaliknya, orang yang mengeluarkan zakat itulah yang akan dilipat-gandakan pahalanya serta mendapat keredaan Allah SWT. Inilah teguran pertama daripada Allah SWT kepada pengamal riba.

Riba telah disepakati oleh seluruh ulama akan pengharamannya dan ia juga diharamkan oleh semua agama. Allah SWT melaknat mereka yang melibatkan diri dengan riba.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Rasulullah melaknat pemakan riba, pemberinya, dua orang saksinya dan juru tulisnya". (riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, An Nasa'i dan Ibn Majah)

Riba adalah salah satu dosa besar. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Jauhilah tujuh dosa besar, Syirik, Sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina (tanpa saksi adil). (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Terlibat dengan riba menjadi sebab mendapat kemurkaan Allah SWT. Pemakan dan pemberi riba sebenarnya mereka memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278)

Al Qurtubi menyebut bahawa tiada dosa yang lebih buruk dari riba sehinggakan Allah SWT sendiri begitu tegas di dalam firman-Nya dengan mengisytiharkan perang.

Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang sangat tinggi termasuklah dalam soal hartanya. Tidak wajar mencabuli harta yang dimilikinya kerana ia dikira mencabul kehormatannya. Riba adalah salah satu bentuk pencerobohan ke atas harta orang lain secara batil.

Sebagai contoh dalam pinjaman, sebarang pertambahan ke atas nilai pokok yang diberikan dianggap sebagai mendapatkan habuan tanpa ada susah payah malah diperolehinya di atas kesusahan orang lain.

Oleh itu Islam mengharamkan riba untuk menjaga maruah seseorang daripada sewenang-wenangnya dicerobohi.

Islam sangat menggalakkan sifat tolong menolong di antara satu sama lain. Firman Allah yang bermaksud: ...dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah... (al-Maidah: 2)

Falsafah di sebalik pinjaman dalam Islam ialah untuk memenuhi keperluan seseorang yang dalam kesusahan, memupuk semangat tolong menolong dan untuk menyuburkan kasih sayang di antara satu sama lain.

Dengan mengenakan caj tambahan yang kadangkala berganda-ganda melenyapkan nilai-nilai mulia ini malah dengan amalan riba ini telah menyuburkan sikap mengeksploitasi dan menindas golongan yang sedang dalam kesusahan.

Akhirnya lahirlah manusia yang tamak, mementingkan kepentingan sendiri dan menjadi hamba kepada harta.

Islam mengharamkan riba kerana ia bercanggah dengan fitrah kehidupan manusia di mana setiap individu perlu menjadi anggota atau unsur kepada produktiviti. Akan tetapi menerusi amalan riba ini menyebabkan manusia menjadi malas untuk berusaha dan hanya memikirkan bagaimana hendak melipatgandakan keuntungan di atas keringat orang lain.

Akhirnya harta tidak berkembang dan hanya berlegar di kalangan orang-orang kaya sahaja. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda. (al-Rum: 39)

Riba juga akan membuka pintu keburukan dan menghilangkan keberkatan harta serta kehidupan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Riba walaupun lumayan (dari sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa". (riwayat Ahmad)

Pengamal riba dikira telah melakukan dosa zina ibu bapa sendiri seperti sabda Rasulullah SAW: "Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya..." (riwayat Ibn Majah dan Al-Hakim)

Riba itu boleh terjadi dalam dua keadaan iaitu semasa berjual beli ataupun berhutang. Dalam perbahasan kitab fikah ia disebut sebagai Riba Buyu' (riba dalam jual beli) dan Riba Duyun (hutang).

Riba Buyu' adalah berlaku pertukaran barangan ribawi yang berbeza dari segi kuantitinya seperti menukarkan 1 kilogram (kg) beras jenis A dengan 2 kg beras jenis B atau berlaku penangguhan dari sudut masa seperti membeli emas secara hutang. Dalam konteks semasa riba jenis ini boleh berlaku sebagai contoh dalam urusniaga mata wang asing (forex).

Barangan ribawi ialah medium pertukaran seperti emas, perak, mata wang dan makanan asasi seperti beras, gandum dan sebagainya. Jual beli yang melibatkan barangan ribawi ini hendaklah mematuhi syarat yang ditetapkan agar tidak berlaku transaksi riba seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: Emas hendaklah dibayar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tepung dengan tepung, kurma dengan kurma, garam dengan garam, bayaran harus dari tangan ke tangan (tunai). Barang siapa memberi tambahan atau meminta tambahan, sesungguhnya ia telah berurusan dengan riba. Penerima dan pemberi itu sama-sama bersalah. (riwayat Muslim)

Riba Duyun adalah riba yang berlaku dalam urusan pinjam meminjam, iaitu apa-apa penambahan ke atas amaun pokok sama ada penambahan tersebut dijanjikan oleh peminjam atau ditetapkan oleh pemberi pinjam semasa akad atau semasa apabila telah berlaku default.

Sebagai contoh, seseorang memberi pinjam kepada sahabatnya RM10,000. Semasa beliau memberikan wang tersebut beliau menetapkan kepada sahabatnya supaya membayar lebih RM500 ke atas nilai pokok tersebut daripada awal lagi atau mengenakan caj sebanyak lima peratus jika sahabatnya gagal membayar ansuran atau sahabatnya berjanji untuk membayar lebih sebanyak RM300.

Semua senario ini adalah contoh mudah senario transaksi Riba Duyun dalam pinjaman. Riba jenis ini banyak berlaku di bank-bank konvensional masa kini seperti pinjaman dalam membeli kereta, membeli rumah, pinjaman peribadi dan sebagainya.

Berdasarkan hujah-hujah yang diberikan sama ada daripada ayat-ayat al-Quran, as-Sunnah dan praktis semasa bank-bank dan syarikat-syarikat insurans konvensional pada hari ini, ia menunjukkan amalan riba membawa kepada lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada individu mahu pun ahli keluarga mereka.

Justeru, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab serta mementingkan keadilan dalam setiap perkara, seharusnya kita mempromosikan perbankan Islam dan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Takaful, sebagai alternatif dan jalan penyelesaian daripada terlibat dengan amalan riba.

Sekurang-kurangnya, kita telah berusaha untuk memberi jalan keluar kepada masyarakat daripada terus bergelumang dengan amalan riba yang sememangnya dilaknat oleh Allah SWT.

Friday, August 07, 2009

Habbatus Sawda Untuk H1N1

HADITH

Dari Abu Salamah dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Tetaplah kamu dengan Al-habbatus Sawda ini kerana sesungguhnya padanya terdapat ubat segala penyakit kecuali As-Sam(maut).
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Manfaat dan mudharat HANYA dari Allah..

Cara guna:-
-Ambil 3 hingga 7 titik Minyak Habbatus Sawda dan campurkan ke dalam minum harian anda seperti milo, teh tarik atau ambil terus.

* kalau nak beli secara online (yang ori punya), klik gambar di atas dan TOLONG LAA jangan tukar id pencadang aku tu (MY-10001497)...

*lepas klik, kena daftar dulu.. isi borang.. lepas tu baru boleh beli.. ok?

*mahal??? RM35 sebotol.. beli banyak, dapat murah lagi..
nak yang murah RM10-15 sebotol pun ada.. tapi paham2 lah kualiti nya..

Thursday, August 06, 2009

Apartment Untuk Dijual


Untuk Dijual :
  • Apartment Kos Sederhana Aras 2 di Bukit Rawang Putra.
  • 3 bilik Tidur dan 2 bilik Air.
  • Keluasan 868 kaki persegi.
  • Dinding dicat baru.
  • Siap Grill Tingkap serta Pintu.
  • Siap dipasang lampu dan kipas.
  • Kemasan Tiles pada semua bilik tidur, Yard Hadapan dan Belakang.
  • Kawasan Apartment berpagar dan mempunyai Taman Permainan Kanak2.
  • Akses ke pekan Rawang kurang 1 km.
  • Atmosphera tenang serta berkepadatan rendah dan kemudahan kedai berhampiran.
  • Boleh akses masuk melalui Bangunan MPS Cawangan Rawang dan Sekolah Rendah Cina San Yuk.
Harga : RM 7x,000.00

Sila hubungi : Farid Hj Ismail – 013-3684252





* Ni apartment kawan sekolah aku, si Farid...
(~truuut~ hello.. bole saya cakap dengan Fiona..
Err Fiona tak de.. dia baru je keluar dengan Farid.. ~klik~)


Sapa2 berminat, boleh berhubung terus dengan beliau..

Jangan lupa tashkil dia buat usaha atas iman..
Potensi untuk keluar 3 hari..

(ok ke Farid, iklan aku macam nie..? Ko jangan takut kena tashkil pulak. Iklan free je nih..)

azharjaafar

Wednesday, August 05, 2009

Catatan Seorang Anak


Seorang anak menulis;

"Disini saya hendak bercerita sedikit tentang ayah saya yang juga seorang karkun atau tabligh. Hanya tuan-tuan sahaja yang dapat membuat kesimpulan dengan apa yang terjadi. Kisah ini hanya sebagai renungan kita bersama sementara masih hidup.

Pada 1 mei 2009 yang lepas ayah saya baru sahaja meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan juga ulser perut. Saya hanya mempunyai 2 orang adik yang masih lagi belajar. Adik saya yang pertama masih lagi menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi dan yang kedua pula masih bersekolah di tingkatan lima manakala ibu pula sudah lama meninggal dunia pada tahun 1997. Saya pula berumur 23 tahun dan bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai pembantu teknik. Sejak kematian ibu ayahlah yang menjaga dan mendidik kami dengan penuh kasih sayang.

Walaupun hanya bergantung kepada pencen ibu yang diterima setiap bulan dan pendapatan ayah yang bekerja sebagai pembantu kedai tidak seberapa tapi kehidupan kami tetap bermakna. Ayahlah satu-satunya yang kami ada. Walaupun kehidupan kami tidak mewah tetapi dengan apa yang ada kami tetap bersyukur dan ayah masih lagi mampu untuk menyara kami sekeluarga sehinggalah saya dapat belajar di intitusi pengajian tinggi awam.

Ayah telah memberikan kami didikan agama yang cukup sempurna sejak dari kecil lagi. Setiap kali selesai solat maghrib kami akan membaca taklim (Hadis) dirumah sementara menunggu waktu isyak. Semua ini adalah hasil didikan ayah sejak kecil lagi kepada kami adik-beradik hingga kini dan tidak pernah kami tinggalkan.

Walaupun ayah selalu keluar ke jalan ALLAH 3 hari setiap bulan dan 40 hari setiap tahun iaitu selepas raya aidilfitri atau hujung tahun tetapi tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga tidak pernah ayah abaikan. Walaupun seringkali meninggalkan kami sendirian tetapi kami tetap redha kerana kami tahu ayah menjalankan tanggungjawabnya kepada agama dan masyarakat. Kami percaya yang ALLAH akan membela dan memelihara kami walaupun tanpa ayah. Saya juga seringkali mengikut jemaah keluar kejalan ALLAH bila ada kelapangan walaupun semasa bergelar seorang penuntut.

Tetapi usaha yang ayah jalankan ini tidak mendapat sokongan dari ahli keluarga dan saudara-mara yang lain kerana mereka menyagka yang ayah tidak bertanggungjawab kepada anak-anak. Walaupun begitu ayah tetap tenang dan tidak mudah melatah dengan apa yang ayah hadapi walaupun kutukan demi kutukan terus dilemparkan, ini kerana ayah telah melakukan usaha ini sejak dari umur belasan tahun lagi. Ayah juga sering berpuasa di bulan rejab, syaaban, ramdhan berturut-turut dan melakukan solat malam, tidak pernah ayah tertinggal walau satu malam sekali pun, selesai solat ayah akan memanjatkan doa kepada ALLAH S.W.T meminta pertolongan, bantuan dan memohon kepada ALLAH agar anak-anaknya menjadi seorang insan yang berguna dan tidak sekali-kali meninggalkan ibadah.

Setelah tamat pengajian saya telah dipanggil untuk ditemuduga bagi jawatan juruteknik di sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja bagi industry petroleum, gas dan petrokimia sekali gus diterima bekerja. Saya terlalu bersyukur kepada ALLAH kerana memakbulkan doa ayah selama ini dan saya tidak pernah menggangur setelah tamat pengajian. Berkat doa ayah juga lah saya dapat mengecapi kejayaan pada hari ini. Setelah 2 tahun bekerja saya telah dinaikan pangkat kepada pembantu teknik, walaupun begitu tidak pernah sekali pun saya mengabaikan tanggungjawab saya sebagai seorang hamba kepada ALLAH dan anak.

Semasa ayah dimasukkan ke wad ICU di Hospital Kuala Lumpur ramai antara kenalan ayah yang datang dari dekat mahupun jauh, ada antara mereka yang datang dari Jordan, Kuwait, Pakistan dan Arab Saudi. Kesemua mereka adalah jemaah-jemaah Tabligh yang telah sama-sama melakukan usaha di Malaysia. Mereka datang sebaik sahaja mendapat berita yang ayah telah dimasukkan ke hospital walaupun baru hari kedua ayah dimasukkan ke wad.

Semasa diwad ICU ayah tidak pernah melakukan perbuatan yang pelik dan ayah tidak pernah sekalipun meninggalkan solat lima waktu walaupun terpaksa baring diatas katil hinggalah pada hari jumaat 1 may 2009 semasa sedang solat asar rakaat kedua secara tiba-tiba ayah mula tidak sedarkan diri kerana luka pada usus telah berdarah kembali.

Semasa ayah sedang sakit pernah saya hendak mengahantar ayah untuk menerima rawatan dihospital kerana penyakit kencing manis tetapi ayah menolak kerana susah untuk menunaikan solat di sana. Walaupun ayah sakit ayah masih lagi mampu menunggang motorsikal untuk menunaikan solat lima waktu di masjid dan masih lagi menjalankan usaha dengan keluar 3 hari.

Sebelum ayah mendapat penyakit kencing manis pada awal april 2009 ayah telah berniat untuk keluar 40 hari ke jalan ALLAH untuk melakukan usaha tersebut dan ketika sakit ayah tetap berkeras dengan keputusan yang dibuat. Bagi saya sebagai seorang anak saya tiada hak untuk melarang ayah dari terus melakukan usaha malah saya berharap agar ALLAH dapat memelihara ayah dari sebarang perkara yang tidak diingini. Saya redha jika ayah pergi ketika melakukan usaha tersebut kerana mati dijalan ALLAH adalah mati syahid dan saya bersyukur sekiranya ia terjadi. Tetapi belum sempat ayah melakukan usaha ALLAH terlebih dahulu mengambil nyawanya.

Pada jam 2100 1 mei 2009 ayah telah punkembali kerahmatullah dengan cara yang paling mudah yang ALLAH berikan. Ayah pergi dalam keadaan yang tenang. Saya sempat untuk mengajar ayah mengucap dua kalimah syahadah walaupun tiada suara ayah kedengaran tetapi dari raut wajah dan gerakan bibir telah membuatkan saya yakin yang ayah mendengar apa yang saya ucapkan. Dengan airmata yang bergelinang dahi yang mula dibasahi peluh dan ketenangan air muka ayah telah menghadap tuhan yang maha esa penghulu kepada langit dan bumi di arasy ALLAH S.W.T. Segala urusan telah ALLAH permudahkan walaupun usaha yang ayah lakukan tidaklah sebesar mana.

Semasa melakukan urusan untuk menuntut jenazah saya telah diberitahu yang segala perbelanjaan rawatan dihospital telah pun dibayar sepenuhnya oleh seorang HAMBA ALLAH begitu juga dengan urusan pengkebumian dan tahlil segalanya telah diuruskan oleh orang perseorangan yang tidak saya kenali. Keesokan paginya ramai kenalan ayah yang hadir untuk menziarah tidak kira dari dalam dan luar negara jauh mahupun dekat. Pelajar-pelajar tahfiz juga turut sama hadir.

Keesokan paginya semasa urusan memandikan jenazah terdapat darah yang mengalir dari luka akibat proses hemodalisis. Darah tersebut cukup sifatnya dan merah mengalir keluar dari tubuh ayah. Sedang saya sibuk menggosok badan ayah, seorang tukang mandi yang saya cukup kenali sebagai berkata sesuatu kepada saya.

“Bapak kau ni tengah tidur ke? tanya Wak.

Saya tidak dapat melayan pertanyaan wak kepada saya kerana sedang sibuk memandikan jenazah ayah.

“Ko pakai minyak atar ke ni?, Tanya wak lagi.

“Mana ada, mandi pun belum lagi ni wak. Kalau minyak atar tu ada la di rumah. Minyak atar kasturi ayah punya”, Jawap saya.

“Hah! Ni bau kasturi la ni”, balas wak kepada saya.

Saya terus mendiamkan diri dan menyambung kerja saya semula. Dalam hati saya berkata.

“Betul juga apa yang wak ni cakap, dari tadi lagi aku bau semacam je. Macam bau badan ayah masa nak ke masjid untuk solat berjemaah pula”

Selepas solat zohor saya terus melakukan solat jenazah bersama-sama dengan jemaah yang lain dan apa yang saya dengar solat jenazah ini terlalu ramai dari bahagian tengah masjid hingga ke bahagian belakang saf lelaki. Selepas itu jenazah terus dibawa ke kawasan perkuburan islam Jalan Ampang untuk dikebumikan dan sekali lagi perkara yang pelik berlaku semasa menurunkan jenazah ke dalam liang lahad dimana lima orang boleh muat untuk turun kebawah sedangkan badan kami besar dan laing lahad hanya berukuran tujuh kaki lebar.

Semasa jenazah ayah dibawa turun dapat saya rasakan yang beratnya terlalu ringan seolah-olah sedang memeluk kapas. Sekali lagi perkara pelik terus berlaku semasa bilal sedang membca talkin hadirin yang hadir tercium bau yang semerbak harum bak kasturi dan saya sendiri turut sama mencium bau tersebut. Selesai sahaja urusan pengkebumian ramai kenalan yang hadir bertanyakan soalan kepada saya tentang apa yang berlaku semasa di tanah perkuburan dan persoalan itu masih tidak dapat saya jawap hingga hari ini. Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang mengetahui apa yang berlaku.

Bagi saya setiap amalan kita didunia pada hari ini akan menjadi pertimbangan kita diakhirat kelak. Jika didunia ALLAH ingin menunjukan kepada kita atas perbuatan kita maka ianya akan berlaku inikan pula di akhirat. InsyaALLAH tuan-tuan apa yang berlaku kita jadikan iktibar buat diri kita dan renungan kita bersama. Saya tidaklah pandai menulis dan berkata-kata apatah lagi bila berbicara soal agama, saya juga seperti tuan-tuan insan yang lemah disisi ALLAH S.W.T. segala apa yang saya ceritakan adalah kisah benar dalam hidup saya dan ianya bukanlah nukilan semata-mata. Terpulang pada tuan-tuan semua untuk menilainya. Walaupun ayah telah tiada tetapi saya berniat dalam hati saya kerana ALLAH S.W.T saya akan meneruskan usaha yang dilakukan oleh ayah."


*********************************************************************************

Kisah ni bukanlah diambil dari quran atau hadis atau dari kitab2 ulama. Tak perlulah kita mempercayainya. Cuma, jika ada benarnya, boleh dibuat iktibar untuk diri kita. Kita pun akan mati satu hari nanti.

~azharjaafar