Friday, October 23, 2009

Khutbah Jumaat yang aku tunggu-tunggu


Macam biasa, hari solat Jumaat kat masjid Al Faizin, Taman Desa Jaya. Khutbah Jumaat hari ni memang best. Tahniah kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Gua caya lu.. (tak sesuai tulis cam ni). Syabas.

“FADHILAT SOLAT BERJEMAAH”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala titah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan Allah SWT dan selamat di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Solat merupakan perhubungan rohaniah antara hamba dengan Allah Azzawajalla. Dengan ibadah solat manusia akan dapat berhubung dengan Allah SWT secara langsung, tanpa sebarang perantaraan untuk mengabdikan diri dengan rasa rendah diri terhadap Allah SWT. Justeru, solat merupakan Mi’raj hamba kepada Allah subhaanahu wata’ala untuk mempersembahkan seluruh solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Allah subhaanahu wata’ala sahaja.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162-163:
“Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang Islam yang terawal menyerahkan diri (kepada Allah)”.

Hadirin Juamaat yang dimuliakan Allah,

Solat berjemaah lima waktu bagi mazhab Syafie hukumnya fardhu Kifayah yang wajib ditunaikan setiap waktu pada setiap hari dan Afdhal di masjid atau di surau. Solat Jumaat pula wajib Aini seminggu sekali. Manakala solat dua hari raya sunat ditunaikan setahun sekali dan Afdhal di padang atau di tempat lapang.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Ganjaran pahala semabahyang berjemaah itu melebihi dari sembahyang bersendirian dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat”.

Adalah menjadi suatu perkara yang malang bagi sebahagian umat Islam yang kurang mengambil berat untuk solat berjemaah atas alasan tidak wajib atau hanya fardhu Kifayah. Umat Islam sewajarnya memahami bahawa apapun aktiviti dan rutin kehidupan yang dilalui memerlukan hidayah dan keredhaan Allah, oleh itu umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa solat berjemaah di masjid dijanjikan nur hidayah Allah dan nur itulah yang akan menerangi mereka di hari kiamat nanti.

Sabda rasulullah s.a.w: Maksudnya,
“Gembirakanlah orang-orang yang mahu datang berjalan ke masjid diwaktu gelap malam dengan nur cahaya terang benderang di hari kiamat nanti”.
(riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Antara hikmah solat berjemaah di masjid adalah mampu untuk membentuk ukhwah dan saling bertukar fikiran secara rasional tanpa mengira latar belakang dan fahaman, kerana masing-masing menjaga adab ketika berada di rumah Allah.

Solat berjemaah mengajar umat Islam hidup bermasyarakat dengan disiplin dan peraturan yang murni dan luhur. Ini dapat digambarkan apabila azan berkumandang, maka bilal lah yang patut dipatuhi dan imam solat yang mesti diikuti, serta saff jemaah yang mesti diperhati, berdiri sama lurus, rukuk sama tunduk dan sujud sama merendah diri sebagai syiar dan lambang untuk sama-sama meletakkan kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah dalam menjalani hidup berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat, bekerja dan bernegara.

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Oleh itu, apabila masyarakat hidup dalam keadaan berdisiplin dan mematuhi peraturan-peraturan yang luhur, yang terhasil dari mengerjakan solat berjemaah maka terhakislah rasa sombong, dengki, riya’ dan akan terjalin rasa saling memahami, hidup tenang, bersopan santun dan penuh kemesraan.

Sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Dan tidaklah berkumpul satu kaum di satu rumah dari rumah-rumah Allah sambil membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya bersama di antara mereka kecuali turunlah ke atas mereka pertolongan, mereka dilimpahi rahmat, malaikat menaunginya dan Allah menyebut namamereka dikalangan orang yang ada di sisinya. Sesiapa yang lambat amalnya maka tidak disegerakan dekatnya kepada Allah”.

Sungguhpun begitu hebat kebaikan solat berjemaah namun sebahagian umat Islam pula tidak mengambil berat dengan azan yang dikumandangkan oleh bilal, biar sekuat mana pembesar suara sampai ke telinga, biar secantik mana masjid dibina, biar masjid berkarpet tebal dan berhawa dingin, namun jemaahnya hanya dalam lingkungan lima puluhan atau ratusan orang berbanding dengan jumlah penduduk taman ribuan orang, sedangkan masjid boleh menampung ribuan jemaah dengan kos pembinaan masjid jutaaan ringgit. Namun anak-anak kita, jiran tetangga kita, ahli masyarakat kita sebahagiannya masih liar dengan masjid, masih seronok berlonggok di simpang-simpang jalan, masih selesa di padang-padang permainan, masih enak menghirup kopi di kedai-kedai berhampiran, masih leka berurus niaga di pasar-pasar malam, masih leka denagn menggilapkan kereta, atau masih leka dengan gurauan anak dan cucu yang tercinta atau masih ternganga dengan siaran television, sekalipun masjid hanya dipisahkan dengan pagarnya sahaja.

Sebenarnya setiap orang dipertanggungjawabkan untuk mengajak, menyeru, menasihat orang Islam yang lain apabila berlaku keengkaran terhadap kepatuhan beragama atau tidak kisah dan tidak ambil peduli dengan seruan azan yang mengajak solat bersama, mengajak ke arah kemenangan bersama, kita bimbang mereka lebih jauh dari Allah. Apabila Allah jauh dari hati kita maka syaitanlah yang cepat menghampiri kita.

Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya:
“Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah qariah atau sebuah kampung yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah dalam kampong tersebut melainkan syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk bersendirian”.
(riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i).

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Melalui rumah Allah yang suci ini, marilah kita bersatu, memperkuatkan pertalian ukhwah untuk sama-sama membantu anak-anak kita, jiran tetangga, ahli masyarakat kampung dan taman supaya memujuk dan mengajak mereka untuk mengimarahkan masjid. Juga sama-sama solat berjemaah setiap waktu yang termampu oleh kita. Alangkah indahnya kita sama-sama berdiri satu saff di belakang imam dan bahagianya kita jika kita dapat menarik setiap orang teman sekampung, jiran setaman, sama-sama duduk berwirid, berzikir, berdoa dan bersalam-salaman setiap waktu, bertemu muka setiap hari dalam suasana yang penuh ketulusan dan keikhlasan kepada Allah subhaanahu wata’ala.

Firman Allah subhaanahu wata’ala dalam surah at-Tahrim ayat 6:
“Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka”.

“Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk”.
(Al-Baqarah: 43)

Sumber; http://www.jais.gov.my/

11 comments:

  1. Aku kt At Taqwa TTDI khutbah pasal mengkufuri nikmat Allah. Ok le jugak tu.

    eh first ke?

    ReplyDelete
  2. Beberapa tahun dulu kt tempat aku terbit sebuah khutbah 'azab meninggalkan sholah 5 waktu..' Dengan penuh emosi khatib tu bacakan, meremang la bulu romaku. Siang tadi khutbah bab Haji, al maklum la dah hampir musim haji..

    ReplyDelete
  3. Hasbullah Salih,
    Kufur nikmat.. adusss berat tuh..

    fisrt yang pertama yang awal yang no satu..

    merah_s,
    khutbah bab2 solat ni patut diulang2 terutama bab fadilat. Sesekala bagi bab azab pulak.

    Hairan dengan orang yang sebuk nak bina negara Islam tapi surau kat kampung sendiri tak ada orang nak azan untuk solat 5 waktu.

    ReplyDelete
  4. salam..
    khutbah nie mggu lepas kat tempat ana(kolej mara banting)
    kalau ada sape2 yg duduk berhampiran.. sila la dtg kat sini..usaha semakin lemah..
    bg bayan pon da ok

    ReplyDelete
  5. Yard,
    betul.. kalau ikut web JAIS, ni khutbah munggu lepas. Minggu ni tajuk lain. Kalau masjid SP tak yah pakai teks.

    Usaha lemah?? Malam markas jangan miss.. iktikaf.. jangan malas.

    ReplyDelete
  6. best2..!kalu kat sini,tiap2 minggu khutbah politik.bukan kata tak bagus,bgus gak..tapi patutnya bg la khutbah yg menyedarkan sikit sebab yg dtg solat jumaat pun masih ramai yg cuma solat seminggu sekali(jumaat tu aje)

    ReplyDelete
  7. iqbalsyarie,
    khutbah politik?? Hu.. hu.. Mesti bestkan hari2 dengar dan cakap politik.. sehingga kebesaran politik masuk dalam hati..

    Semoga Allah ampunkan kita..

    ReplyDelete
  8. bukan hari-hari,tapi seminggu sekali jek.hoho

    ReplyDelete
  9. iqbalsyarie,
    ooo.. seminggu sekali..

    ReplyDelete
  10. Apa hal da...politik dimasjidkan atau masjid dipolitikkan. Zaman sahaba, masjid (amal-amal masjid) dibawa kepasar bukan pasar (amal-amal pasar) dibawa kemasjid. Wallahualam....

    ReplyDelete
  11. zarzh,
    Kena selalu baca sirah nabi dan Sahabat.. InsyaAllah boleh paham dan semak samada JALAN perjuangan kita sama atau tidak dengan mereka.

    ReplyDelete

komen pembaca sangat aku hargai.. makasey...