Tuesday, August 17, 2010

Terawih tu 20 rakaat le..

Ni nota agama untuk diri aku sendiri.. sesapa suka, boleh baca.. sesapa x suka, x payah susah payah baca.. (berapa kali payah la).. dan tolong jangan berbahas kat sini..

Nota ni aku kumpul tanpa permit dari blog http://lamansesawang.com/

Gambar kereta dj irwan syah ni pun diambil tanpa permit..


*****

Solat tarawih adalah 20 rakaat secara ijma

Sejak kecil aku diberitahu bahawa solat tarawih adalah sama ada 8 atau 20 rakaat. Bahkan ada juga yang memberitahu aku 2 rakaat sahaja. Namun apabila aku meningkat dewasa dan sering mendengar kuliah agama, aku dapati bahawa solat tarawih sebenarnya 20 rakaat. Bukan 8 dan lebih-lebih lagi bukan 2 rakaat.

Bahkan satu masa 4-5 tahun lalu, alim ulama di negeri aku di utara begitu bertegas dengan jumlah 20 rakaat solat tarawih. Ada juga alim ulama yang aku kenali memberitahu, sesiapa yang mengatakan solat tarawih itu 8 rakaat, dia sebenarnya belajar tak habis. Agak kelakar mendengarnya. Tapi ternyata memang begitu.

Hasil muzakarah dan carian dibuat, aku catitkan sedikit maklumat di bawah ini tentang jumlah solat tarawih menurut para ulama fekah mujtahidin dan imam-imam mazhab serta para sahabat.

Telah sepakat secara ijma oleh para ulama bahawa solat tarawih adalah sunat muakkad dan berjumlah 20 rakaat dan bersama 3 rakaat witir menjadi 23 rakaat. Semua imam-imam mazhab dan ahli-ahli fekah yang mujtahid bersepakat dalam perkara ini.

Antara hadis-hadis yang menjadi hujah para ulama mujtahidin adalah seperti berikut,

  • Hadis riwayat Baihaqi dan riwayat lain dengan sanad yang sorih lagi sohih daripada Saib bin Ziyad r.a. yakni seorang sahabat yang terkenal. Saib bin Ziyad r.a. berkata, “pada zaman Umar Al-Khattab r.a. umat islam mengerjakan solat tarawih dalam bulan ramadhan sebanyak 20 raka’at.”
  • Hadis riwayat Imam Malik dalam kitab Muwatta’ dan riwayat Baihaqi daripada Yazid bin Rauman. Yazid bin Rauman berkata, “pada zaman Umar Al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan solat tarawih sebanyak 23 rakaat.” (20 rakaat tarawih dan 3 rakaat witir).
  • Hadis yang diriwayatkan daripada Al-Hasan yang mengatakan bahawa Umar Al-Khattab r.a. telah menghimpun orang ramai untuk mengerjakan solat dibelakang Ubai bin Kaab r.a. sebagai imamnya dengan mengerjakan solat tarawih 20 rakaat. Ubai bin Kaab r.a. tidak membaca qunut bersama mereka kecuali pada malam separuh kedua daripada bulan ramadhan. Apabila masuk separuh ketiga yang akhir daripada bulan ramadhan, Ubai bin Kaab r.a. menghilang, yakni dia mengerjakan solat dirumahnya sendiri, lalu jemaah pun berkata, “Ubai telah lari.”

Ibnu Qudamah rah.a menceritakan di dalam kitab Al-Mughni bahawa telah terjadi ijma atas bilangan solat tarawih iaitu 20 rakaat. Seterusnya Ibnu Qudamah rah.a menjelaskan bahawa yang dipilih oleh Imam Ahmad adalah 20 rakaat. Demikian juga 20 rakaat ini dipilih oleh Imam Sufian Al-Thauri, Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’i rah.alaihim, sedangkan Imam Malik rah.a memilih 36 rakaat dengan menyandarkan pada amalan penduduk Madinah. Dan bagi kami, sesungguhnya Umar Al-Khattab r.a. ketika mengumpulkan orang ramai mengerjakan solat di belakang Ubai bin Kaab r.a. sebanyak 20 rakaat.

Imam Malik rah.a meriwayatkan dengan sanad dari Yazid bin Abdurrahman, “umat islam pada zaman Umar Al-Khattab r.a. mengerjakan qiyamullail sebanyak 23 rakaat”.

Diriwayatkan daripada Ali r.a. bahawa beliau telah menyuruh seseorang untuk menjadi imam tarawih pada bulan ramadhan dan mengerjakan 20 rakaat. Ini adalah seperti ijma.

Seterusnya Ibnu Qudamah rah.a berkata, “seandainya seluruh penduduk Madinah mengerjakan 36 rakaat, maka bilangan rakaat yang dikerjakan oleh Umar Al-Khattab r.a. dan telah diijma oleh para sahabat yang lain ketika itu lebih utama untuk diikuti.

Maka ulama berpendapat bahawa yang masyhur dalam mazhab maliki adalah 20 rakaat berdasarkan bahawa inilah imam-imam mujtahid berijma atas keutamaan mengerjakan 20 rakaat.

Begitu juga Imam Syafi’i dan Imam Abu Hanifah rah.alaihima berpendapat bahawa solat tarawih itu berjumlah 20 rakaat berdasarkan ijma para sahabat pada zaman khalifah Umar Al-Khattab r.a.

Imam Ibnu Abdil Bar rah.a menerangkan, “sungguh benar adanya daripada Ubai bin Kaab r.a. bahawa beliau solat tarawih dengan 20 rakaat bersama umat islam tanpa ada perselisihan antara para sahabat.”

Di dalam kitab Al-Mukhtasor yang disusun oleh Imam Al-Muzani rah.a disebutkan bahawa Imam Syafi’i rah.a berkata, “aku melihat orang ramai di Madinah mengerjakan solat tarawih 39 rakaat tetapi yang lebih aku sukai adalah yang 20 rakaat kerana ia yang diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab r.a. Demikian juga di Makkah, umat islam mengerjakan solat tarawih 20 rakaat dan mengerjakan solat witir 3 rakaat.”

Imam Turmuzi rah.a di dalam kitab hadisnya Sunan Al-Turmuzi menerangkan, “majoriti ahli ilmu mengerjakan solat tarawih berdasarkan kepada riwayat daripada Umar, Ali dan sahabat-sahabat nabi Muhammad s.a.w. yang lain, iaitu 20 rakaat. Bilangan ini juga yang dipegangi oleh Imam Sufian Al-Thauri, Ibnu Al-Mubarak dan Imam Syafi’i rah.alaihim”. Imam Syafi’i rah.a berkata, “aku menjumpai umat islam di negeri aku Makkah mengerjakan solat tarawih 20 rakaat.”

Imam Nawawi rah.a menerangkan, “mazhab kami menetapkan bahawa solat tarawih berjumlah 20 rakaat dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri daripada lima “tarwihat” (istirahat) dan satu tarawih terdiri daripada empat rakaat dengan dua salam”.

Imam Malik rah.a dalam Al-Muwatta’ meriwayatkan bahawa Yazid bin Rauman berkata, “umat islam pada zaman khalifah Umar Al-Khattab r.a. mengerjakan qiyamullail ramadhan dengan solat 23 rakaat”. Akan tetapi Baihaqi rah.a mengatakan bahwa hadis tersebut adalah mursal sebab Yazid bin Rauman tidak bertemu dengan Umar Al-Khattab r.a.

Seterusnya Baihaqi rah.a mengatakan bahawa dengan berpandukan kepada hadis-hadis yang diterangkan tadi, umat islam mengerjakan solat tarawih 20 rakaat dan witir 3 rakaat. Baihaqi rah.a meriwayatkan juga daripada Ali r.a. bahawa solat tarawih itu adalah 20 rakaat.

Imam Ibnu Taimiyah, seorang tokoh ulama besar Salafi menerangkan dalam kitab Al-Fatawa, “benar bahawa Ubai bin Kaab r.a. mengerjakan solat pada bulan ramadhan bersama umat islam sebanyak 20 rakaat dan witir 3 rakaat. Jadi para ulama berpendapat bahawa yang demikian itu di tengah-tengah para sahabat muhajirin dan para sahabat ansar dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya (menentangnya).”

Didalam kitab Majmu’ah Al-Fatawa Al-Najdiyah disebut bahawa Sheikh Abdullah bin Abdul Wahhab memberikan jawapan tentang bilangan rakaat tarawih, “bahawa Umar Al-Khattab r.a. ketika mengumpulkan umat islam yang diimamkan oleh Ubai bin Kaab r.a. bilangan rakaatnya adalah 20 rakaat.”

Demikianlah keterangan-keterangan daripada para ulama pimpinan islam sama ada daripada golongan salaf maupun khalaf yang tidak dapat diragukan lagi kebenarannya. Jelaslah bahawa solat tarawih itu 20 rakaat yang dikerjakan oleh umat islam sekarang ini adalah amalan yang benar yang tidak dapat disangkal lagi.

Benarkah kita berkelahi tentang bilangan rakaat tarawih?

Sering aku mendengar daripada siri ceramah dan kuliah yang dijalankan oleh para ustaz di masjid dan surau atau di radio dan televisyen mengatakan bahawa kita tidak perlu berkelahi tentang bilangan rakaat tarawih dalam ramadhan. Memang benar umat Islam tidak dibenarkan berkelahi sesama sendiri. Tetapi soalannya, adakah benar kita sedang berkelahi?

Di dalam bab fekah terdapat pelbagai perbezaan pendapat di kalangan empat imam mazhab. Adakah itu bermakna mereka berkelahi? Tidak! Sama sekali tidak.

Adapun apa yang sering berlaku di zaman ini tentang bilangan solat tarawih adalah sekadar pertanyaan, pemberitahuan dan muzakarah. Tidak ada kena mengena lansung dengan berkelahi.

Mungkin ada di kalangan sesetengah orang-orang awam atau sesetengah para ustaz yang kurang mahir, akan beriya-iya mempertahankan pendapatnya. Ini adalah perkara biasa di dalam dunia. Orang yang tidak menguasai sepenuhnya di dalam sesuatu bab, dia pasti akan berpegang dengan pendapatnya. Selagi dia tidak diberitahu tentang penjelasan yang lain maka dia tidak akan tahu.

Demikianlah juga tentang persoalan bilangan rakaat tarawih ini. Orang-orang yang memberitahu tentang bilangan rakaat tarawih bukanlah orang yang ingin berkelahi atau cari pasal atau memecahbelahkan umat. Adakah para imam mazhab memecahbelahkan umat? Na’uzubillah!

Sekiranya orang mengatakan ini berkelahi, maka sampai bila pun umat Islam tidak akan tahu amalan agama yang sebenarnya kerana orang lain tidak dibenarkan memberitahu mereka, kerana ianya dikatakan berkelahi. Maka pastinya amalan agama umat Islam akan menjadi tidak sempurna kerana mereka akan ikut apa yang mereka suka sahaja. Kemudian mereka tidak akan mendengar penjelasan yang lain kerena khuatir akan berkelahi. Ini adalah satu salah faham besar dalam umat.

Oleh itu aku betul-betul berharap persoalan ini tidak dikatakan sebagai berkelahi. Ini bukan berkelahi. Ada yang bertanya, ada yang menjawab, ada yang memberitahu. Inilah muzakarah. Apa yang tepat kita amalkan. Apa yang kurang tepat kita jauhkan. Semua ini tujuannya hanyalah satu, iaitu untuk menyempurnakan amalan agama di kalangan umat Islam.

Mengapa ada yang mengatakan tarawih 8 rakaat?

Sebelum ini aku telah membuat post tentang solat sunat tarawih yang menjadi sepakat para ulama secara ijma berjumlah 20 rakaat.

Namun demikian, masih ada beberapa golongan yang bertegas bahawa solat tarawih itu sebenarnya 8 rakaat dan mereka juga mengatakan bahawa 20 rakaat itu adalah perkara yang bid’ah. Ini juga adalah pendapat Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani yang menjadi tokoh ulama pengikut salafi.

Mengapa mereka berkata seperti itu?
Ini adalah berikutan sebuah hadis yang diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari menceritakan bagaimana Abi Salamah Ibnu Abdul Rahman bertanya kepada Aisyah r.anha tentang solat baginda di bulan ramadhan.

Dari Abi Salamah Ibnu Abdul Rahman bahawasanya beliau bertanya kepada Aisyah r.anha tentang solat Rasulullah S.A.W di bulan ramadhan maka beliau menjawab bahawa tidak pernah baginda sama ada di bulan Ramadhan atau di bulan lainnya bersembahyang lebih daripada 11 rakaat iaitu dengan mengerjakan solat empat rakaat, jangan ditanyakan tentang bagusnya dan panjangnya. Kemudian solat empat rakaat, jangan ditanya tentang bagusnya dan panjangnya dan kemudian 3 rakaat.

Iaitu 8 rakaat bersama 3 rakaat witir.

Benarkan hadis ini menceritakan tentang tarawih?
Mufti Abdul Rahim Lajpuri memberitahu bahawa menurut para ulama yang mensyarahkan Sahih Bukhari dan juga Syeikh Shamsuddin Al-Kermani, mengatakan bahawa hadis tersebut menceritakan tentang solat sunat tahajjud.

Sekiranya dikatakan bahawa hadis ini bukan bermaksud solat sunat tahajjud, maka ini bertentangan dengan hadis yang menceritakan baginda menunaikan solat sunat 20 rakaat (riwayat Ibnu Abbas r.anhuma) pada 2 malam di bulan ramadhan. Sedangkan hadis kedua ini adalah muthbit (pengakuan) dan di dalam kaedah hadis, muthbit mendahului nafi (penafian).

Bagaimana pembahagian bab di dalam kitab-kitab hadis terhadap hadis Aisyah r.anha ini?
Imam Bukhari rah.a sendiri meletakkan hadis ini di dalam 2 bab iaitu bab solat tahajjud dan bab solat tarawih. Ini jelas menunjukkan bahawa Imam Bukhari sendiri berpendapat bahawa hadis ini adalah tentang solat tahajjud. Dan oleh kerana solat tahajjud juga dikerjakan pada malam-malam ramadhan maka ianya juga diletakkan di dalam bab solat tarawih.

Selain Imam Bukhari rah.a, imam-imam muhaddithin yang lain hanya meletakkan hadis ini di dalam bab tahajjud sahaja. Mereka adalah Imam Muslim rah.a, Imam Abu Daud rah.a, Imam Turmuzi rah.a, Imam Nisai rah.a dan juga Imam Malik rah.a.

Bahkan ulama besar Salafiah seperti Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rah.a juga meletakkan hadis ini di dalam bab solat tahajjud dalam kitabnya Zaadul Maad.

Adakah riwayat lain tentang hadis Aisyah ini?
Ya iaitu dalam Sahih Muslim dan di dalam riwayat ini, bukannya 11 rakaat yang disebutkan bahkan 13 rakaat yang disebutkan oleh Aisyah r.anha.

Abi Salamah Ibnu Abdul Rahman telah bertanya Aisyah r.anha tentang solat Rasulullah S.A.W di bulan ramadhan dan beliau menjawab bahawa baginda mengerjakan 13 rakaat di malam hari. Baginda mengerjakan 8 rakaat dan kemudian 3 rakaat witir dan kemudiannya 2 rakaat nafil secara duduk, dan apabila baginda ingin rukuk baginda akan bangun dan rukuk dan kemudian baginda mengerjakan solat sunat 2 rakaat antara azan dan iqamah subuh.

Pendek kata, hadis Aisyah r.anha ini bukanlah dalil yang mengatakan bahawa tarawih itu 11 rakaat. Sebaliknya ia hanya menceritakan perihal solat tahajjud sahaja. Sedangkan telah menjadi ijma di kalangan para sahabat dan majoriti para ulama mengatakan solat tarawih adalah 20 rakaat.

Pendapat bahawa tarawih 11 rakaat adalah pendapat sebilangan kecil para ulama sedangkan terdapat lebih daripada 50 pendapat mengatakan bahawa solat tarawih adalah 20 rakaat.

Para sahabat r.anhum dan tabiin rah.alaihim pada zaman Umar r.a. telah membuktikan bahawa solat tarawih adalah 20 rakaat. Adakah kita mahu mengatakan bahawa para sahabat r.anhum di zaman Umar r.a. melakukan sesuatu yang nabi tidak buat?

*****

Semalam (16/08/2010) terawih kat Masjid Imam Al Ghazali, Bandar Manjalara.. best.. walaupun x 1 juzuk tapi 20 rakaat, slow & steady.. 1½ jam siap ngan witir..

InsyaAllah petang ni (17/08/2010) DYM Sultan Selangor nak berbuka puasa dan berterawih kat masjid aku.. dan dengarnya masjid nak buat 20 rakaat.. ampun patik, tuanku..