Tuesday, October 06, 2009

Musim Orang Kahwin


Huh.. lepas-lepas raya ni ramai la yang nak berkahwin..
Kahwin tu kan salah satu dari sunah Nabi SAW.

Dulu aku ada sorang kawan yang kahwin bila umur dah 30 tahun. Selang beberapa bulan lepas kahwin aku terjumpa la mamat ni dan tanya; "Amacam kawen? Ok?"

Dia kata; "Menyesal..."

Aku tanya: "Apa problem?"

Dia jawab; "Menyesal.. kawen lambat.."

Laaaa..

Aku nak cerita sikit.. Korang tau tak bersanding tu HARAM dalam Islam? Tau x pe.. Aku dulu kahwin masa umur 22 tahun. Walaupun masa tu aku berada di zaman jahiliyah, tapi aku tau bersanding tu haram. Jadi aku awal-awal dah sound kat bakal isteri aku (yang dah jadi isteri aku sekarang ni), aku tak nak naik pelamin! Lepas tu tak payah berkompang-kompang..

Satu; sebab hukum bersanding tu haram. Dua; sebab tak rock la bersanding.. Aku memang leceh la bab-bab protokol ni. Tu pun nasib baik aku nak pakai baju songket sewa tu. Kalau boleh baju melayu ngan jeans aje..

Bila sampai kat rumah pompuan, aku diarak dari tepi jalan sampai kat depan rumah. Ok lah, x de kompang. Sunyi sepi je.. Lepas tu isteri aku keluar, jalan cat walk sampai kat aku. Pegang tangan dan sama-sama diarak masuk dalam rumah pompuan. Aku rasa macam bodo je! (memang bodo pun..) Apa la punya adat. Kan elok lepas nikah, aku jemput korang makan, korang datang makan, salam-salam, borak-borak, korang blah, aku teruskan tanggungjawab aku..

Cerita tak habis lagi..

Bila masuk dalam rumah aku tengok ada pelamin! Suhu otak aku naik.. tapi aku kontrol hensem. Nasib baik aku tak cabut keris yang ada kat samping aku dan mengamuk macam Hang Jebat..

Pelan-pelan aku sound kat pengapit aku; "Tolong alihkan kerusi.."

Kesudahan ceritanya aku duduk bersila dan isteri aku duduk bersimpuh atas pelamin.. Puas hati aku!

Habis cerita aku..

Hal Bersanding

1. Definisi Persandingan: meletakkan suami-isteri yang baru dinikahkan di atas penganjangan (pelamin) dengan berhias indah, berpakaian lengkap, dikipas oleh dua jurukipas dan ditonton oleh orang ramai atau orang tertentu sahaja.

2. Tujuan: antara tujuan utama persandingan ialah untuk ditonton, menjadi kenangan bersejarah, meraikan peluang seumur hidup dan menghayati adat dan budaya nenek moyang.

3. Sejarah: ada dua teori dalam menjelaskan dari mana asalnya persandingan dalam adat Melayu.
Pertama: bahawa persandingan adalah adat resam Melayu tulen. Ini kerana istilah raja sehari itu persis kepada adat istiadat Melayu yang berpaksikan raja (HM Sidin, Adat Resam Melayu, PAP, 1964)

Kedua: Persandingan adalah adat yang diimport dari India. De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) berpendapat ia adalah pengaruh Hindu.

4. Unsur-unsur khurafat dalam persandingan:

(a) Penggunaan beras kunyit pada upacara persandingan ialah bertujuan memberi semangat kepada pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi.

(b) Penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu.

(c) Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk "li tadlis" mengabui/merubah kecantikan yang sebenar adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas'ud: "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka*, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah." (*pengecualian: membuang bulu yang berupa janggut atau misai atau side-burn.)

5. Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah (maksudnya), "Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33)

6. Mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran: Hukum sebenar kenduri kahwin ialah sunat sahaja sebagaimana sabda baginda: "Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing."

Islam mencela amalan boros: "Janganlah kamu membazir secara melampau." (Maksud al-Isra': 26)

7. Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian: Ini berlawanan dengan roh Islam Firman Allah," Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." (al Baqarah: 286)

8. Mas kahwin dan hantaran yang mahal: Inilah adalah sunah Rasul saw: "Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." (HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi)

Demi meraikan adat: Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan syarat:

1. Jika ia disandingkan secara tertutup (di hadapan muhrim atau keluarga terdekat) dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat.

2. Jika ingin melakukan secara terbuka diharuskan jika bertujuan iklan dan memperkenalkan mempelai kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak baik pengantin dan para jemputan semua menutup aurat kecuali perhiasan yang biasa dilihat.

Dalam soal upacara bersanding, telah sepakat ulama mutaakhirin bahawa hukum bersanding itu adalah “HARAM”. Walau bagaimanapun para ulama berbeza-beza di dalam mengutarakan sebab atau mengapa bersanding itu haram.

Ada ulama mengatakan sebab bersanding itu haram kerana pekerjaan tersebut adalah merupakan satu pekerjaan bidaah (satu perkara yang diada-adakan) iaitu pekerjaan yang tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah saw mahupun di zaman para sahabat.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan kerjakanlah segala apa yang didatang Rasul, serta hentikanlah segala apa yang dilarangnya.”

Dalam pada itu, ada juga pendapat ulama mengatakan bahawa bersanding itu haram disebabkan terdapat beberapa perbuatan yang melanggar batas-batas syarak seperti pakaian yang mendedahkan aurat, percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan muhram, pembaziran, memakai bau-bauan dan sebagainya.

Perbelanjaan untuk membuat pelamin sekurang-kurangnya ratusan ringgit, bahkan adakalanya sehingga ribuan ringgit dihabiskan. Ini merupakan pekerjaan yang membazir.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”

Pendedahan aurat berlaku berleluasa di majlis tersebut, terutamanya pengantin perempuan. Rasulullah saw bersabda: “Ada empat golongan perempuan di dalam neraka; Perempuan yang tidak menutup dirinya (auratnya) daripada lelaki bukan muhram dan keluar daripada rumahnya dengan melawa-lawa;…… perempuan yang bersifat dengan sifat-sifat demikian ini adalah dilaknat, menjadi ahli neraka kecuali mereka bertaubat.”

Sebuah hadis Rasulullah saw lagi:
“Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar lantas melintasi suatu kaum lelaki (bukan muhram) agar mereka tercium bau harumnya, maka ia adalah penzina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu zina.”

Manakala ulama lain pula berpendapat bersanding merupakan satu yang jelas haram kerana ia adalah warisan, ikutan dari amalan masyarakat Hindu dari zaman berzaman. Sedangkan kita umat Islam adalah dilarang untuk mengikut amalan orang kafir. Islam menyuruh umatnya menjadi satu umat yang berbeza dari lain-lain umat samada dalam adatnya, dalam iktiqadnya, dalam pakaiannya dan lain-lain.

Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka”. (Hadis sahih riwayat Abu Dawud).

Dalam hadis lain yang dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad, Ibn Umar r.a juga berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku diutus dengan pedang menjelang hari kiamat, sehingga (orang-orang bukan Islam) menyembah Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, dijadikan rezeki dibawah bayangan tombakku, dan dijadikan hina dan rendah bagi sesiapa saja yang berselisihan dengan urusanku. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka”. (Musnad Ahmad)

Dua hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita mengenai larangan Islam kepada umat Islam supaya tidak mencontohi atau meniru adat dan amalan masyarakat yang lain selain dari Islam.

Wallahu a'lam..

Gambar hiasan

Did I miss something?