Monday, February 11, 2008

Kenapa la... Kenapa la... Kenapa la...


Dikisahkan mengenai satu keluarga miskin dua beranak yang tinggal di pinggir sebuah kampung. Seorang ibu yang sudah tua serta uzur bersama anaknya yang muda remaja. Kehidupan mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. (Ini bukan cerita si tanggang!). Si ibu begitu kasih kepada anaknya. Dia membela anaknya bagai menatang minyak yang penuh. Maklumlah, itulah sahaja anaknya seorang.

Anak muda itu kerjanya mencari kayu api dihutan dan menjualnya di pekan yang terletak agak jauh dari kampung mereka. Sebagai manusia biasa, anak muda itu ingin hidup mewah dan bahagia seperti orang lain. Seringlah dia berangan-angan ingin menjadi kaya, ada pakaian dan kenderaan mewah, ada mahligai dan taman-taman, dan yang paling best, dia digilai orang ramai perempuan. Tapi apakan daya, dia seorang miskin.

“Oh, kenapalah aku ditakdirkan miskin. Bilalah nasib aku akan berubah?”

Sehinggalah ke suatu pagi, seperti biasa, anak muda itu keluar mencari kayu api. Sedang dia berjalan laju di dalam hutan, dia telah tersepak sesuatu yang keras sehingga menyebabkan dia jatuh tersungkur.

“Aduh, celaka punya batu.”

Sumpahnya sambil menggosok-gosok ibu jari kakinya yang luka. Pandangan matanya tertumpu kepada benda keras yang disepaknya tadi. Kelihatan benda itu bersinar-sinar, mengeluarkan cahaya yang menyilaukan mata. Dengan segera dia mendapatkan benda tersebut yang sudah separuh tertanam di dalam tanah. Digali dan dikeluarkan lah benda keras tersebut. Besarnya adalah kira-kira sebesar bola ragbi.

Setelah diamat-amati, tahulah dia bahawa benda keras yang disepaknya tadi adalah sebuah batu permata yang besar. Maka berdebar-debarlah hatinya dan menggigil lah seluruh anggota badannya. Terbayanglah olehnya akan harga permata itu. Dia akan jadi pemuda terkaya dalam negerinya. Berangan-anganlah dia mempunyai pakaian dan kenderaan yang mewah, mahligai dan taman-taman, dan sekali lagi yang paling best. dia digilai oleh ramai perempuan.

“Kali ini betul-betul, bukan cobaan” seperti kata pendekar mustar.

Anak muda itu bergegas pulang ke rumah. Ingin segera memberitahu ibunya. Dipertengahan jalan dia melalui sebuah kolam yang biasa disinggahinya sebelum ini untuk dia melepaskan lelahnya. Terfikirlah olehnya untuk membasuh dahulu akan permata tersebut. Dia pun duduk mencangkung di tepi kolam dan membasuh permata itu dengan bersungguh-sungguh.

Ditakdirkan batu permata itu terlepas dari tangannya dan jatuh ke dalam kolam. Maka menggelabah giler lah dia. Pucat lesi seluruh badannya. Anak muda itu telah turun ke dalam kolam untuk mencari permata itu. Malangnya setelah sekian lama mencari, tak juga berjumpa. Berapa lama kemudian dia telah berputus asa. Dengan sedih dan hiba dia termenung di tepi kolam sambil berkata,
“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

Hari telah lewat senja maka hebohlah orang-orang kampung akan kehilangan anak muda tersebut. Tersangat sedihlah ibu tua dan menangisi kehilangan anaknya. Berbagai-bagai andaian bermain difikirannya. Gerakan mencari dibuat secara besar-besaran. Sehingga lewat malam mereka masih belum menemui anak muda tersebut. Gerakan mencari terpaksa dihentikan dan disambung keesokkan harinya.

Hari esoknya orang kampung telah menemui anak muda tersebut yang masih duduk termenung di tepi kolam. Bila ditanya apa yang terjadi, maka jawabnya,

“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

Maka orang kampung pun membawa anak muda itu pulang ke kampung dengan anggapan dia telah tersampuk. Dia diserahkan kepada ibunya. Ibunya begitu gembira tidak terkata. Namun dia berasa hairan kerana anaknya masih mengulangi perkataan,

“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

Dipendekkan cerita seorang bomoh kampung telah dipanggil dan setelah diberi ubat maka anak muda tersebut telah tertidur sehari suntuk.

Esoknya pagi-pagi hari, anak muda tersebut telah terjaga. Keaadaannya kelihatan normal. Seperti biasa dia menyapa dan berbual-bual dengan ibunya dan bersiap-siap hendak keluar mencari kayu api. Dengan perlahan ibu tua bertanya kepada anaknya akan hal yang terjadi semalam. Anaknya terdiam dan mula termenung panjang. Kemudian dia berkata,

“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

“Kenapa la aku basuh…”

Apalagi, si ibu tua begtu sedih dan kesal dengan kejadian itu. Menyesalnya dia bertanya akan hal itu bukan kepalang. Kemudian si ibu tua itu pula telah termenung panjang dan berkata,

“Kenapa la aku tanya…”

“Kenapa la aku tanya…”

“Kenapa la aku tanya…”

Diulang-ulangnya lagi perkataan itu,

“Kenapa la aku tanya…”

“Kenapa la aku tanya…”

“Kenapa la aku tanya…”



************ SEKIAN ***********

Pengajaran dari cerita.

Bayangkan penyesalan manusia yang semasa di dunia, namanya dicatit sebagai orang Islam tapi di akhirat namanya tercatit dikalangan orang kafir.

Nau’zubillahi min zalik.

Semoga Allah lindungi kita dari kerugian dan penyesalan tersebut.

Jadi, mahu tak mahu, kena buat usaha untuk pelihara iman dan kuatkan iman.

“Kalau tak usaha mana boleh dapat syeikh!” Kata seorang pada aku mengenai kepentingan mencari dunia.

Dalam hati aku kata, “Ye la, untuk dunia pandai kau usaha. Untuk akhirat tak kan berserah aje!”

Entahlah…